KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan (MOT) tidak teragak-agak mengambil tindakan termasuk terhadap syarikat besar sekiranya berlaku ketidakpatuhan yang boleh menjejaskan keselamatan orang ramai di jalan raya.
Menterinya Anthony Loke berkata ini dibuktikan apabila terdapat sebuah syarikat tersenarai di Bursa Malaysia dan mempunyai lebih 1,000 kenderaan telah digantung Lesen Pengendali akibat ketidakpatuhan terhadap keselamatan jalan raya.
“Apabila Lesen Pengendali sesebuah syarikat digantung atau dibatalkan, semua kenderaan yang berdaftar di bawah syarikat tersebut tidak boleh beroperasi.
“Seperti telah dilaporkan media, syarikat tersebut terpaksa membuat pengumuman di Bursa Malaysia berkenaan tindakan penggantungan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) kerana terdapat implikasi serius terhadap operasinya,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) mengenai tindakan tegas MOT dalam usaha mengurangkan kemalangan maut melibatkan kenderaan berat terutamanya lori memandangkan terdapat 1,457 kes kematian dicatatkan membabitkan lori di seluruh negara sejak Januari 2019 hingga November 2024.
Loke berkata tahun lepas menyaksikan jumlah tindakan penggantungan Lesen Pengendali dan Permit Kenderaan paling tinggi terhadpa syarikat, antara lain kerana gagal audit pematuhan Kod Amalan Industri untuk Keselamatan Pengangkutan (ICOP), menyebabkan kemalangan atau terlibat dalam ketidakpatuhan berkaitan.
Beliau berkata sejumlah 247 Lesen Pengendali telah digantung pada 2024 berbanding 101 pada 2023 dan 94 (2022) manakala hanya lapan Lesen Pengendali digantung antara 2019 dan 2021.
“MOT melalui APAD juga menggantung 23 Permit Kenderaan pada 2024 atas ketidakpatuhan keselamatan jalan raya. Tempoh penggantungan boleh sampai 90 hari untuk ketidakpatuhan yang serius,” katanya.
Selain itu, katanya MOT melalui APAD telah membatalkan tujuh Lesen Pengendali antara 2022 dan 2024 berbanding tiada pembatalan antara 2019 dan 2021.
“MOT akan meneruskan tindakan tegas ini di samping menambah baik inisiatif keselamatan jalan raya yang lain termasuk tindakan penguatkuasaan terhadap kenderaan berat melebihi muatan, memperketat prosedur pemeriksaan berkala dan menambah baik pematuhan ICOP dalam kalangan pemain industri,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial