KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Malaysia tidak mempunyai rundingan diplomatik dengan China berhubung Beting Patinggi Ali, kata Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin.
Beliau berkata ini memandangkan Beting Patinggi Ali sememangnya berada dalam kawasan maritim Malaysia berdasarkan Peta Baharu Malaysia 1979.
"Selaku Pengerusi ASEAN tahun ini, memang isu Laut China Selatan menjadi fokus utama kita, cuma isu Beting Patinggi Ali ini bukan antara isu yang kita rundingkan kerana Beting Patinggi Ali memang berada di kawasan kita.
"Di dalam kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia, lebih kurang dalam 84 batu nautika sahaja. Kita punya kuasa ZEE ini hingga 200 batu nautika. Ini memang kawasan kita, jadi tak ada yang perlu kita rundingkan," katanya.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) mengenai status rundingan diplomatik terkini dengan negara China berkenaan isu Beting Patinggi Ali pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata rundingan dijalankan bagi kawasan selepas 200 batu nautika dengan menggunakan platform ASEAN antaranya melibatkan usaha memuktamadkan Kod Tatalaku (CoC) di Laut China Selatan.
Beliau berkata Malaysia memanfaatkan Kepengerusian ASEAN yang juga negara pelaksana dan pengerusi secara bersama (co-chair) ASEAN-China serta pengerusi secara bersama dalam jawatankuasa kerja dalam memuktamadkan CoC.
"Ada beberapa siri mesyuarat penting yang sedang berjalan dan telah berjalan sebelum ini untuk kita membincangkan (perkara itu) antaranya di Bali, Indonesia; Bangkok, Thailand; China dan Vientiane, Laos.
"Ini semua usaha kita ke arah memuktamadkan CoC, ini penting untuk kita memuktamadkan supaya menjadi garis panduan kepada semua negara bukan sahaja negara ASEAN tetapi negara di luar ASEAN juga harus mematuhi CoC yang bakal dimuktamadkan ini,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan dalam merundingkan CoC, Malaysia tidak akan menggadaikan hak kedaulatan negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial