KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Malaysia sedang meningkatkan usaha untuk memperkukuh pemuliharaan hutan melalui strategi pembiayaan inovatif, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar Nik Nazmi Nik Ahmad.
Beliau berkata kementeriannya sedang meneroka mekanisme pembiayaan inovatif seperti bon hijau, sukuk, cukai karbon dan pelaburan mampan bagi memastikan usaha pemuliharaan mendapat dana mencukupi sambil mewujudkan peluang ekonomi lestari untuk negara.
“Bagi menangani jurang pembiayaan, Malaysia memperkenalkan Sijil Pemuliharaan Hutan (FCC) pada Mei 2024 menerusi Dana Hutan Malaysia (MFF), satu inisiatif perintis yang direka untuk memudahkan pelaburan sektor swasta dalam projek pemuliharaan hutan.
“FCC menyokong amalan perhutanan lestari, pemulihan habitat dan perlindungan biodiversiti dengan memanfaatkan sumber kewangan daripada syarikat korporat serta pihak berkepentingan lain. Ia juga menggalakkan kerjasama lebih erat antara agensi kerajaan, entiti swasta dan komuniti setempat dalam usaha melindungi hutan Malaysia,” katanya ketika berucap pada Majlis Jamuan Makan Tengah Hari Inisiatif Pemuliharaan Strategik, di sini hari ini.
Beliau turut menekankan perlunya perubahan paradigma dalam melihat hutan sebagai aset bernilai, dan bukan sekadar komoditi untuk dieksploitasi.
Nik Nazmi berkata Malaysia merupakan satu daripada 17 negara megadiversiti di dunia dan memainkan peranan penting dalam pemuliharaan biodiversiti global, dengan hutannya berfungsi sebagai pengawal iklim, pusat biodiversiti serta aset ekonomi.
“Hutan kita bukan sahaja kaya dengan biodiversiti, tetapi juga berkait rapat dengan identiti budaya dan kemakmuran ekonomi. Namun, penebangan hutan akibat pembangunan infrastruktur, penempatan dan peluasan sektor pertanian merupakan cabaran besar,” katanya.
Menurut Nik Nazmi, selaku Pengerusi ASEAN, Malaysia komited untuk menerajui usaha pemuliharaan alam sekitar dengan meneroka pelbagai sumber pembiayaan, termasuk perkongsian awam-swasta, geran antarabangsa dan peruntukan kerajaan.
“Keutamaan pemuliharaan alam sekitar bukan sahaja terhad kepada biodiversiti tetapi juga memberi kesan kepada kesejahteraan semua negara ASEAN. Mendapatkan pembiayaan mencukupi untuk pemuliharaan kekal sebagai cabaran berterusan, namun kami komited untuk menggerakkan sumber bagi melindungi warisan semula jadi kita,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial