WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Permukiman ADMM Setuju Terima Turkiye, Jerman Sebagai Pemerhati ADMM

26/02/2025 05:51 PM

GEORGE TOWN, 26 Feb (Bernama) -- Permukiman Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) hari ini bersetuju menerima Jerman dan Turkiye untuk menjadi pemerhati menerusi Program Pemerhatian Kumpulan Kerja Pakar (EWG) Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan Asean (ADMM)-Plus bagi tempoh 2024-2027.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kedua-dua negara itu telah beberapa kali memohon untuk menjadi negara pemerhati dan pada kali ini semua menteri pertahanan telah bersetuju untuk menerimanya.

"Seperti kita sedia maklum, penerimaan dan keputusan bagi ASEAN memerlukan konsensus, pada tahun lepas dan sebelum itu permohonan-permohonan (Jerman dan Turkiye) itu tidak diterima oleh beberapa negara maka ia tak berjaya.

“Hari ini kita berterima kasih kepada semua dan bersyukur di bawah kepengerusian ASEAN (kali ini) nampaknya semua bersetuju, maknanya ada konsensus untuk terima Jerman dan Turkiye sebagai pemerhati kepada program pemerhati ADMM," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Permukiman ADMM di Batu Ferringhi di sini hari ini.

Lebih 150 delegasi dari negara anggota ASEAN, termasuk Timor-Leste dan Sekretariat ASEAN, menghadiri permukiman itu yang diadakan bersempena dengan Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 bertemakan "Keterangkuman dan Kemampanan".

Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada lebih 300 mesyuarat, program dan sidang kemuncak berkaitan ASEAN sepanjang tahun ini, menjadikannya antara kepengerusian paling aktif sejak negara ini memegang peranan yang sama pada 1977, 1997, 2005, dan 2015.

Selaku Pengerusi ADMM dan ADMM Plus tahun ini, Mohamed Khaled yakin akan menerima permohonan banyak negara yang ingin menyertai sebagai pemerhati program itu untuk memantapkan lagi kedudukan ADMM sebagai satu rangka kerja keselamatan serantau terbuka dan inklusif.

Beliau berkata penyertaan negara-negara itu sebagai pemerhati juga akan menyumbang perspektif, pandangan dan kepakaran dalam hal-hal pertahanan serta dalam hal keselamatan yang boleh menyumbang kepada keamanan dan kestabilan rantau ASEAN.

"Jadi inilah antara keputusan yang telah dapat kita lahirkan sebenarnya dengan Permukiman ADMM di Pulau Pinang pada kali ini," katanya.

Ditanya mengenai penyertaan Timor-Leste sebagai negara pemerhati dalam Permukiman ADMM kali ini, Mohamed Khaled berkata penyertaan itu berfungsi sebagai pendedahan awal kepada negara itu sebelum diterima sebagai anggota penuh ASEAN.

"Hal ini akan membantu pembangunan kapasiti mereka agar apabila diterima nanti, tidak wujud jurang besar antara Timor-Leste dan negara anggota ASEAN yang lain," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan