GEORGE TOWN, 26 Feb (Bernama) -- Sesi Permukiman Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) yang bermula sejak semalam di Batu Feringghi di sini turut menampilkan gerai pameran dan jualan produk kraf tangan bertujuan mempromosi serta mengangkat warisan seni budaya negeri ini.
Gerai pameran dan jualan itu melibatkan pengusaha produk kraf tangan tempatan termasuk kebaya nyonya, tembikar dan batik.
Pereka kebaya nyonya terkenal, Dr Kenny Loh berkata beliau mengambil kesempatan membuka gerai di sesi permukiman itu untuk memperkenalkan keindahan sulaman kebaya nyonya khususnya kepada delegasi dari negara ASEAN yang hadir.
“Tujuan saya buka gerai bukan untuk jualan semata-matanya sebaliknya yang lebih penting dapat mempromosikan kebaya nyonya agar dapat dikenali di seluruh dunia.
“Untuk itu saya bawakan kebaya nyonya yang kami menang ketika Malaysia Good Design Award baru-baru ini. Setakat ini produk kami dapat sambutan baik, ramai (delegasi) yang ingin tahu lebih lanjut mengenai kebaya nyonya kerana tertarik pada potongan dan sulamannya,” katanya.
Selain itu, Kenny berkata beliau juga menampilkan pelbagai produk seperti dompet dan beg kecil bermotif batik buatan tangan (handmade) sebagai karya seni yang mencerminkan kekayaan budaya negara ini.
Pengusaha produk tembikar, Shah Daniel Shamsu, 26, pula berkata beliau membawakan seni kraf tembikar hasil karya bersama ayahnya Shamsu Mohammad dari bengkel perusahaan mereka di Sungai Rusa, Balik Pulau.
Shah Daniel yang merupakan lulusan Institut Kraf Negara berkata walaupun dari segi jualan tembikar dalam kalangan delegasi tidak memberangsangkan tetapi mereka menunjukkan minat dan tertarik dengan keunikan hasil karyanya.
"Mereka (delegasi) berhenti di gerai kami dan bertanyakan tentang tembikar yang ada dan cara menghasilkannya, saya berbesar hati serta gembira dapat berkongsi maklumat dengan mereka. Ini juga cara kami dapat bantu promosikan kraf negara kepada orang luar," katanya.
Permukiman ADMM dimulakan dengan Mesyuarat Kumpulan Kerja Pegawai Kanan Kementerian Pertahanan ASEAN (ADSOM WG) semalam.
Lebih 150 delegasi dari negara anggota ASEAN, termasuk Timor-Leste dan Sekretariat ASEAN, menghadiri permukiman ini yang diadakan bersempena dengan Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 bertemakan "Keterangkuman dan Kemampanan".
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial