PUTRAJAYA, 27 Feb (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) secara rasmi menerima draf Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia 2025-2035 (PPTM 2025-2035) dan akan dibentangkan ke peringkat seterusnya sebelum dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak lama lagi.
KPT dalam kenyataan hari ini memaklumkan selepas sembilan bulan penuh dedikasi, Kumpulan Pakar PPTM 2025-2035 yang diketuai oleh Datuk Prof Emerita Dr Asma Ismail menyiapkan rangka tindakan baharu bagi pendidikan tinggi negara.
Draf pelan berkenaan telah diserahkan kepada Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
PPTM 2025-2035, hasil usaha anak tempatan tanpa bergantung kepada perunding asing sekali gus membuktikan keupayaan pakar Malaysia dalam merangka hala tuju pendidikan tinggi negara.
“Pembangunan rangka tindakan ini melibatkan lebih 8,226 pihak berkepentingan melalui sesi perbincangan, validasi dan tinjauan kebangsaan serta disiapkan dalam tempoh sembilan bulan, jauh lebih singkat berbanding rangka tindakan sebelumnya yang mengambil masa dua tahun,” katanya.
Proses penyelidikan itu turut merangkumi lebih 240 mesyuarat, 100 kajian rujukan dan penglibatan 181 individu, termasuk pakar akademik serta lebih 22 penulis daripada Universiti Putra Malaysia (UPM).
PPTM 2025-2035 menekankan akses pendidikan inklusif, transformasi digital dan daya saing global serta mencatat pencapaian asas.
"Pelaksanaan rangka tindakan ini memerlukan komitmen kerajaan, institusi pendidikan tinggi, industri dan masyarakat bagi memastikan Malaysia terus relevan dalam landskap pendidikan tinggi global," menurut kenyataan itu.
Majlis Sign Off PPTM 2025-2035 yang berlangsung petang semalam menandakan KPT sudah bersedia memacu permulaan baharu bagi pendidikan tinggi negara dengan penekanan kepada inovasi, kebolehpasaran graduan serta pemerkasaan akademik dan industri.
PPTM 2025-2035 juga dijangka membawa Malaysia ke tahap lebih tinggi dalam dekad akan datang, selaras dengan visi menjadikan negara ini sebagai hab pendidikan tinggi bertaraf dunia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial