PUTRAJAYA, 27 Feb (Bernama) -- Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) bermesyuarat kali pertama tahun ini dengan keanggotaan penuh 29 ahlinya, sekali gus memperkukuh peranan sebagai badan penasihat utama dalam penetapan dasar gaji negara.
Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan keanggotaan penuh dalam mesyuarat berkenaan turut memperkukuhkan keupayaan majlis itu dalam membuat keputusan yang lebih komprehensif dan mencerminkan kepentingan keseluruhan ekosistem pekerjaan di Malaysia.
“MPGN sebagai platform rundingan tripartite yang merangkumi wakil majikan, pekerja dan kerajaan, berperanan memastikan keseimbangan kepentingan semua pihak serta membentuk hala tuju tenaga kerja yang lebih progresif dan inklusif,” menurut kenyataan itu.
KESUMA memaklumkan majlis itu berperanan penting dalam menyeimbangkan kepentingan pekerja dan majikan serta memperkukuh ekonomi negara.
“Gaji minimum yang ditetapkan membantu mengurangkan jurang pendapatan, menjamin keadilan sosial, dan menarik pelaburan dengan mewujudkan tenaga kerja yang stabil,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, KESUMA memaklumkan majlis itu juga berpotensi melaksanakan kajian komprehensif terhadap kadar gaji minimum berdasarkan wilayah, sektor dan jenis pekerjaan.
“Perancangan jangkaan gaji masa depan dapat membantu majikan membuat persediaan bagi pelaksanaan gaji minimum seterusnya.
“Dengan keanggotaan penuh ini, MPGN berada dalam kedudukan lebih kukuh untuk menangani isu gaji negara dan menyumbang kepada kesejahteraan ekonomi pekerja serta kemampanan industri di Malaysia,” menurut kenyataan itu.
Dalam kenyataan sama, KESUMA memaklumkan Menteri Sumber Manusia Steven Sim telah menyerahkan sijil pelantikan kepada empat anggota baharu MPGN iaitu Datuk Jeffery Tan, 51, (Wakil Majikan) serta Rudy Rusly, 50, (Wakil Pekerja).
Turut menerima sijil pelantikan adalah Datuk Norison Ramli, 55, iaitu wakil Pegawai Awam dan Dr Mohd Amirul Rafiq Abu Rahim, 39, (Wakil Anggota Lain).
“Dengan tambahan empat anggota baharu daripada pelbagai sektor, termasuk wakil dari Sabah dan Sarawak, majlis itu kini lebih bersedia untuk menerajui perbincangan dasar gaji secara lebih menyeluruh dan berkesan.
“Ini selaras dengan visi MPGN untuk mewujudkan struktur gaji yang adil, meningkatkan perlindungan pekerja dan memperkukuhkan daya saing ekonomi negara,” demikian menurut KESUMA.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial