WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Jemaah Menteri Menjunjung Kasih Titah Sultan Pahang Berkaitan Titah Adendum - Fahmi

28/02/2025 06:30 PM

PUTRAJAYA, 28 Feb (Bernama) -- Jemaah Menteri hari ini menjunjung kasih titah Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar semua pihak tidak berterusan membahaskan Titah Adendum.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang juga jurucakap kerajaan MADANI berkata kerajaan berharap semua pihak menghormati titah Tuanku.

"Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah merakamkan junjung kasih kerajaan terhadap titah baginda Sultan Abdullah. Seperti yang kita semua sedia maklum, Tuanku telah bertitah supaya isu Titah Adendum yang sekarang di bawah proses undang-undang perlu dihormati.

"Titah Tuanku meminta agar semua pihak tidak berterusan membahaskan soal Titah Adendum ini," katanya dalam sidang media mingguan Menteri Komunikasi di sini hari ini.

Fahmi berkata pelaksanaan dan juga perkara-perkara yang berkaitan dengan proses itu (Titah Adendum) akan diteruskan oleh kerajaan.

Al-Sultan Abdullah semasa berangkat pada Program Himpunan Pahang Bermunajat Raja Berdaulat di Masjid Negeri di Kuantan, Pahang, malam tadi, bertitah agar semua pihak tidak berterusan membahaskan isu berkaitan Titah Adendum kerana perkara itu kini di bawah proses undang-undang.

Baginda menegaskan semua pihak perlu menghormati proses tersebut berikutan perkara itu telah berada di bawah bidang kuasa pihak bertanggungjawab. Baginda juga bertitah agar semua pihak menghormati proses serta undang-undang yang telah ditetapkan dan tidak menimbulkan sebarang kekeliruan dan retorik.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan