WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pelbagai Pengisian Dirancang Sempena Sambutan Ulang Tahun APM Ke-73

28/02/2025 07:11 PM

PUTRAJAYA, 28 Feb (Bernama) -- Pelbagai pengisian dirancang bagi menyemarakkan sambutan Hari Ulang Tahun Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Ke-73 pada 24 Mac ini.

APM dalam kenyataan hari ini memaklumkan pengisian berkenaan bertujuan memperkasakan kesedaran, kecintaan dan budaya terhadap pertahanan awam selain memberi peluang kepada pegawai serta anggota untuk menonjolkan kreativiti dalam pelaksanaan aktiviti bersama masyarakat.

“APM menyasarkan 73 program faktor ‘wow’ APM di peringkat negeri dan pusat latihan, termasuk pelaksanaan operasi kemanusiaan dan kesiapsiagaan bencana seperti Op Ramah dan Op Prihatin.

“Turut disasarkan 73 aktiviti merangkumi enam tonggak utama Malaysia MADANI, termasuk Wacana Nasional: Halatuju Sukarelawan di Malaysia pada 10 dan 11 Mac bertempat di Institut Semarak Felda (ISEF), Bangi,” menurut kenyataan itu.

APM ditubuhkan pada 1952 dan kini memainkan peranan penting dalam pengurusan bencana negara dengan penglibatan 2.25 juta anggota sukarela di seluruh negara sejak penubuhannya.

Hari Ulang Tahun Pertahanan Awam (HUTPA) disambut setiap 24 Mac sebagai acara tahunan utama warga APM.

Tema HUTPA pada tahun ini ialah ‘Sukarelawan dan Pertahanan Awam: Teras Kesejahteraan Nasional’, mencerminkan peranan APM dalam memperkukuh semangat kesukarelaan dan keselamatan rakyat sebagai teras pembangunan negara selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan