WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Malaysia Komited Teroka Cara Baharu Lonjak Perdagangan, Pelaburan Dengan Cuba

01/03/2025 10:35 AM

KUALA LUMPUR, 1 Mac (Bernama) -- Malaysia kekal komited dan mempelawa cadangan baharu mengenai cara untuk merealisasikan sepenuhnya potensi perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan Cuba.

Pesuruhjaya Perdagangan Malaysia yang berpangkalan di Miami, Amerika Syarikat Ahmad Shanizam Ab Ghani berkata Malaysia berpandangan wujud banyak potensi untuk meningkatkan hubungan ekonomi antara kedua-dua negara khususnya dalam melonjakkan jumlah perdagangan dua hala.

“Walaupun Malaysia menyedari cabaran akibat langkah memaksa yang unilateral dikenakan ke atas Cuba, perdagangan berterusan antara kedua-dua negara menunjukkan peningkatan hubungan ekonomi masih boleh dicapai.

“Malaysia bersedia untuk meneroka lebih banyak peluang bagi mewujudkan bidang kerjasama baharu dengan Cuba untuk manfaat bersama kedua-dua negara,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata kedua-dua negara juga boleh meningkatkan perdagangan melibatkan minyak sawit dan produk getah, serta perkhidmatan penjagaan kesihatan dan perubatan.

Kedutaan Malaysia di Havana dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di Miami, berharap dapat berkerjasama rapat dengan Kementerian Perdagangan Luar dan Perlaburan Asing Cuba, dewan-dewan perdagangan serta Pusat Penggalakan Perdagangan dan Pelaburan Asing (ProCuba) untuk meneroka lagi potensi antara Malaysia dan Cuba.

Tahun ini menandakan ulang tahun ke-50 hubungan dua hala Malaysia-Cuba, dan kedutaan Malaysia di Cuba kini dipimpin oleh Duta Besar Muhammad Radzi Jamaludin.

Jumlah eksport ke Cuba melonjak 115 peratus kepada US$6.85 juta pada 2024 daripada US$3.18 juta pada 2020, didorong oleh peningkatan kebergantungan Cuba terhadap produk Malaysia terutama daripada industri utama seperti produk berasaskan minyak sawit, serta makanan dan minuman diproses.

Malaysia mengekspot produk minyak sawit bernilai US$2.54 juta ke Cuba pada 2024 daripada US$1.35 juta pada 2020, manakala eksport makanan diproses ke Cuba melonjak kepada US$2.53 juta pada 2024 daripada US$129,088 pada 2020.

Peningkatan eksport makanan diproses yang ketara ke Cuba dipacu terutama oleh permintaan terhadap produk makanan import berkualiti tinggi yang semakin meningkat di Cuba serta keupayaan Malaysia untuk menawarkan penyelesaian makanan pada kos yang berpatutan dan disahkan halal.

Ahmad Shanizam berkata  Malaysia berkedudukan baik untuk melonjakkan eksport barang bernilai tinggi seperti makanan halal diproses, farmaseutikal, dan peralatan perubatan memandangkan pembaharuan ekonomi berterusan di Cuba dan usaha untuk memodenkan industri makanan dan pembuatannya.

“Selain itu, kerjasama teknologi dalam pembuatan dan pembangunan industri boleh membuka peluang untuk syarikat Malaysia melabur di Cuba atau mewujudkan usaha sama bagi menghasilkan barang di negara itu,” katanya.

Malaysia mengambil alih jawatan sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini dan sebagai hos bagi Pemukiman Menteri  Luar ASEAN di Langkawi, Kedah pada 18 dan 19 Jan, 2025.

Malaysia juga menyambut ulang tahun ke-lima Cuba menyertai Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama (TAC) ASEAN.

Beliau berkata susulan kepengerusian ASEAN oleh Malaysia, Malaysia berharap dapat menyaksikan kerjasama yang lebih rancak antara ASEAN dan Cuba, serta antara Jawatankuasa ASEAN di Havana, Cuba (ACHC) dan entiti-entiti Cuba.

Negara ini berharap dapat bekerjasama dengan Cuba dalam memajukan agenda Global Selatan dalam BRICS memandangkan Malaysia dan Cuba telah diterima sebagai negara rakan BRICS, katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan