WILAYAH - SARAWAK > BERITA

DBKU Beri Kelonggaran Kepada Peniaga Gerai Tepi Jalan Sepanjang Ramadan

02/03/2025 09:42 PM

KUCHING, 2 Mac (Bernama) -- Peniaga gerai di kampung atau tepi jalan diberikan kelonggaran untuk beroperasi di kawasan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), kata Datuk Bandar Datuk Hilmy Othman.

Beliau berkata bagaimanapun, peniaga  perlu memastikan kebersihan terjaga dan tidak mengganggu lalu lintas selain mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan sekiranya diminta berpindah ke tempat yang sesuai.

"Sekiranya ada peniaga yang menyebabkan kesulitan lalu lintas di kawasan yang tidak dibenarkan, pihak DBKU akan memastikan mereka memberi kerjasama dan berpindah ke lokasi yang lebih sesuai,” katanya kepada pemberita pada majlis perasmian Bazar Ramadan Satok di sini hari ini.

Beliau berkata kerjasama antara peniaga dan pihak berkuasa DBKU penting bagi mengekalkan suasana yang selesa serta teratur sepanjang Ramadan ini.

Sementara itu, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata peniaga diingatkan supaya sentiasa menjaga kebersihan makanan, mengamalkan pengendalian makanan yang baik, serta mendapatkan vaksinasi bagi memastikan keselamatan pelanggan.

"Selain itu, sisa makanan perlu diuruskan dengan baik dan orang ramai yang berkunjung diharap tidak menghalang lalu lintas. Ini penting bagi memastikan bazar ini berjaya dan benar-benar memanfaatkan warga kota,” katanya.

DBKU dalam kenyataan memaklumkan, Bazar Ramadan Satok yang dibuka mulai hari ini hingga 30 Mac mempunyai 98 gerai yang menjual pelbagai jenis juadah makanan dan minuman.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan