WILAYAH - SABAH > BERITA

Kerajaan Negeri Cari Jalan Terbaik Bantu Mangsa Kebakaran Di Likas - Hajiji

03/03/2025 02:09 PM

KOTA KINABALU, 3 Mac (Bernama) -- Kerajaan Sabah bersama pihak dan agensi yang berkaitan akan berusaha mencari jalan terbaik untuk membantu mangsa kebakaran di Kampung Cempaka, Likas pada Sabtu lepas.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata kerajaan sebagai negeri yang prihatin dan peduli rakyat, nasib mangsa-mangsa kebakaran akan diberi perhatian terutama pada bulan Ramadan ini.

“Kerajaan telah beri bantuan RM1,300 kepada Ketua Isi Rumah (KIR)  iaitu RM1,000 daripada kerajaan negeri manakala RM300 lagi daripada Kumpulan Yayasan Sabah,” katanya kepada pemberita selepas melawat dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran, di Dewan Serbaguna Likas di sini hari ini.

Hajiji berkata selain bantuan kewangan, kerajaan turut memberi pelbagai bantuan lain seperti bantuan gas dan dapur daripada Yayasan Kebajikan Sabah dan bakul makanan daripada Kumpulan Yayasan  Sabah.

Beliau berkata pelbagai pihak juga turut membantu memberi bantuan makanan antaranya Unit Pemimpin  Pembangunan Masyarakat (UPPM).

Bantuan awal turut diberikan di PPS iaitu bakul makanan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, pek makanan retort dan makan minum daripada Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am.

Dalam kejadian pada awal pagi Sabtu, seramai 511 orang mangsa daripada 91 keluarga hilang tempat tinggal, apabila kediaman mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Cempaka.

Dua pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka bagi menempatkan mangsa kebakaran iaitu di PPS Likas yang menempatkan seramai 34 KIR membabitkan 200 penduduk manakala PPS Damai, Luyang seramai 57 KIR dan 311 penduduk.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan