KUCHING, 3 Mac (Bernama) -- Sarawak dan Australia bakal menjalin kerjasama strategik dalam sektor penyimpanan tenaga bagi memperkukuh keperluan tenaga negeri itu pada masa hadapan.
Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia Danielle Heinecke berkata Australia juga berhasrat untuk menarik lebih ramai pelabur ke Sarawak.
“Kami baru sahaja menandatangani perjanjian untuk bekerjasama dalam penyimpanan tenaga bagi membantu Sarawak melihat keperluan tenaganya pada masa depan serta pelbagai pilihan yang ada untuk menggunakan penyimpanan tenaga dalam memenuhi perancangan tersebut.
“Kami juga mahu membawa lebih banyak pelabur ke Sarawak dan sememangnya terdapat beberapa pelabur Australia yang sedang mempertimbangkan Sarawak sebagai pilihan khususnya dalam sektor tenaga dan perlombongan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan yang dikeluarkan Unit Komunikasi Awam Sarawak selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia di sini hari ini.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Pengarah Pejabat Wilayah Sarawak Kementerian Luar Fenny Nuli dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy Datuk Sharbini Suhaili.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial