BENTONG, 3 Mac (Bernama) -- Midea Scott and English Electronics Sdn Bhd (Midea Malaysia) menyasarkan jualan sebanyak RM1 bilion tahun ini bagi meneruskan momentum pertumbuhan dua angka berikutan permintaan yang tinggi terhadap peralatan cekap tenaga.
Pengarah Urusannya Mark Tam berkata permintaan terhadap penyaman udara ‘inverter’ atau penyongsang penjimatan tenaga mencatat peningkatan ketara tahun lepas daripada 10 peratus kepada lebih 50 peratus daripada pasaran penyaman udara negara.
“Ia dapat dilihat menerusi barisan produk penyaman udara kami, produk paling cepat berkembang, dengan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 37 peratus.
“Ini menunjukkan bahawa permintaan untuk produk penjimatan tenaga kian meningkat dengan cepat,” katanya semasa pelancaran pelbagai produk Midea 2025/2026 di sini hari ini.
Tam berkata pada masa ini Midea bekerjasama dengan lebih 1,000 pengedar di seluruh negara dan bercadang untuk mengukuhkan lagi kehadiran pasaran dengan menaik taraf 50 kedai jenama Midea dalam tempoh dua tahun akan datang.
“Kami ingin memastikan bahawa produk kami lebih mudah diakses, dan kedai yang ditambah baik ini akan mempamerkan peralatan terkini yang dilengkapi dengan Internet Pelbagai Benda (IoT),” katanya.
Tam berkata dengan tarif elektrik yang semakin meningkat, kecekapan tenaga menjadi pertimbangan utama dalam kalangan pengguna pada masa ini.
"Penyaman udara dan peti sejuk terkini Midea telah diperakui oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia, dengan 34 model penyaman udara dan 13 model peti sejuk yang mencapai penarafan empat bintang atau lebih," katanya.
Tam berkata peralatan kediaman pintar baharu syarikat itu direka untuk diintegrasikan dengan lancar bersama-sama aplikasi SmartHome, membolehkan pengguna mengawal peralatan dari jarak jauh.
“Pengguna pada masa ini mempunyai gaya hidup yang sibuk, dan mereka inginkan kemudahan. Produk rangkaian rumah pintar kami, termasuk peti sejuk InstaFit dan penyelesaian dobi baharu, dihasilkan untuk memenuhi keperluan ini,” katanya.
Tam berkata bagi meningkatkan kepuasan pelanggan, Midea memperkenalkan tempoh membaiki selama 48 jam bagi penyaman udara manakala peralatan lain dalam masa lima hari bekerja.
“Ini adalah standard perkhidmatan utama dalam industri memandangkan kami yakin bahawa pelanggan yang gembira merupakan pelanggan yang datang semula,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial