WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Fahmi Arah MCMC Panggil Astro Beri Penjelasan Isu Penyampai Radio Persenda Upacara Agama

04/03/2025 12:02 PM

KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah diarahkan menjalankan siasatan terperinci berhubung tindakan kakitangan sebuah stesen radio milik Astro, yang dilihat mempersendakan upacara agama lain dan dimuat naik di platform media sosial pagi tadi.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata ini termasuklah memanggil pihak Astro serta pengurusan stesen radio tersebut untuk hadir ke ibu pejabat MCMC, bagi memberikan penjelasan penuh.

“Ini bertujuan untuk memastikan tindakan yang boleh diambil berdasarkan peraturan dan undang-undang sedia ada,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Fahmi berkata Kementerian Komunikasi telah menerima aduan daripada pelbagai pihak berhubung tindakan kakitangan stesen radio berkenaan.

Hari ini tular di media sosial tindakan penyampai radio di sebuah stesen milik Astro yang dilihat melakukan tindakan seolah-olah mempersendakan upacara agama lain.

Tiga penyampai radio itu kemudian tampil membuat permohonan maaf berhubung tindakan mereka yang disifatkan menyinggung sensitiviti kaum di negara ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan