WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pelajar UTP Raih Dua Kemenangan Dalam Inisiatif Kampus Bebas Tunai

04/03/2025 08:54 PM

KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) membuktikan kecemerlangan mereka dalam kepimpinan dan pemikiran inovatif apabila menang pertandingan PayNet Digital Campus 3.0  bagi kategori universiti dan MPP.

Dalam kenyataan hari ini, UTP memaklumkan visi universiti itu untuk melaksanakan sepenuhnya kampus  tanpa tunai membolehkan mereka menduduki tempat teratas bagi kedua-dua kategori dan membawa pulang hadiah keseluruhan RM200,000.

“Inisiatif PayNet Digital Campus 3.0 yang dianjurkan oleh Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) bertujuan untuk mempercepatkan penerimaan transaksi tanpa tunai di semua kampus universiti di Malaysia,” menurut kenyataan itu

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UTP Prof Dr Nor Hisham Hamid dalam kenyataan sama berkata universiti itu secara aktif menggalakkan penggunaan kaedah pembayaran digital seperti DuitNow QR dan MyDebit untuk pelbagai transaksi seperti pembelian makanan dan perkhidmatan kampus. 

Beliau berkata MPP memainkan peranan penting dalam memacu pelaksanaan pembayaran digital di kampus dan mereka turut terlibat dalam membangunkan serta melaksanakan kempen mempromosikan transaksi tanpa tunai dalam kalangan pelajar.

“Kami amat berbangga dengan pencapaian pelajar kami. Kemenangan ini mencerminkan komitmen UTP untuk memupuk inovasi dan menerima transformasi digital.

“Visi pelajar kami terhadap kampus tanpa tunai adalah sejajar dengan matlamat Malaysia untuk menjadi peneraju dalam ekonomi digital,” katanya. 

Pasukan UTP yang diketuai Abdul Mukmin Abdul Yakup menampilkan rancangan menyeluruh, dengan menekankan manfaat ekosistem pembayaran digital yang lebih selamat, dipercayai dan efisien.

Pasukan itu yang turut dianggotai Liroshen Kumar Kailasam, Khairil Amir Muhd Hanif Hooi, Por Jie Hao, Nur Syahalisah Nurdin, Ryaan James Rozario, Nur Irdina Mohamad Hisham, Dzul Firdaus, Mohammad Izzat Faiq Lau Muhammad Lau dan Ding Sing Yew menunjukkan kerja berpasukan dan dedikasi yang tinggi sepanjang pertandingan itu. 

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Datuk Prof Dr Azlinda Azman dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PayNet Farhan Ahmad menyampaikan hadiah kemenangan kepada Nor Hisham bagi kategori universiti dan  Abdul Mukmin bagi kategori MPP, sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan cemerlang mereka kepada inisiatif kampus digital.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan