WILAYAH - TIMUR > BERITA

Kuching City Musnahkan Harapan Sri Pahang

05/03/2025 10:26 AM

TEMERLOH, 5 Mac (Bernama) -- Ketua Jurulatih Kuching City FC Aidil Sharin Sahak memberikan pujian kepada skuad bimbingannya selepas berjaya menewaskan Sri Pahang FC 2-0 pada aksi tertunda Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh di sini malam tadi.

Kuching City turun dengan kelebihan satu gol hasil jaringan Yuki Tanigawa pada minit ke-14 pada 2 Nov lepas, sebelum perlawanan itu ditangguhkan berikutan keadaan padang yang ditakungi air akibat hujan.

Aidil Sharin berkata pada perlawanan yang dimulakan pada minit ke-31 itu, skuad bimbingannya sangat berdisiplin dan cemerlang melaksanakan tugas, sekali gus membolehkan mereka mengutip tiga mata berharga.

“Pada separuh masa pertama, kita sedar Sri Pahang bersemangat mahu memburu gol tetapi kami cuba menafikan usaha mereka dan nampaknya rancangan itu berjaya.

“Pada babak kedua pula, kami melakukan sedikit perubahan dengan memasukkan pemain lebih bertenaga bagi menyaingi pihak lawan yang dibarisi ramai pemain import,” katanya pada sidang media sejurus tamat perlawanan.

Aidil Sharin berkata percaturan yang dilakukan membuahkan hasil apabila pemain gantian Zahrul Nizwan Joe Kifli @ Zulkeflee berjaya meledakkan gol kedua buat pasukan itu pada masa kecederaan.

“Zarul adalah pemain pantas yang mampu melakukan perubahan, dia sentiasa bekerja keras untuk bertahan dan agresif menyerang.

“Bagi aksi ini, saya cuma menasihatkan dia agar menikmati perlawanan dan kejayaannya mencipta jaringan adalah satu petanda yang baik buat dirinya,” katanya.

Beliau dalam pada itu mengakui kemenangan diperoleh tidak mudah kerana terpaksa berhadapan pasukan berkualiti seperti Sri Pahang dalam bulan Ramadan, selain sebelum ini bermain tiga perlawanan secara berturut-turut di tempat lawan.

“Saya fokus pada setiap perlawanan untuk memperbaiki kedudukan Kuching City. Selepas bertemu Kedah, kami akan menentang Selangor FC dan Johor Darul Ta'zim (JDT) dan ia satu ujian yang baik,” katanya.

Sementara itu, pengendali Sri Pahang Fandi Ahmad berkata keghairahan para pemain untuk mendapatkan gol menyebabkan mereka dihukum dengan kekalahan itu.

“Kami sering menyerang tetapi tiada penyudah yang baik. Kami juga terlalu mahukan gol sehingga pemain di bahagian tengah kurang kompak. Apabila melakukan serangan dengan kurang sokongan daripada pemain di belakang mereka, ia pasti membuka ruang kepada pihak lawan untuk menyerang kembali,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan