WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Enam Termasuk Tiga Penyampai Radio Era FM Beri Keterangan Di Bukit Aman

05/03/2025 01:47 PM

KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Enam individu termasuk tiga penyampai radio Era FM hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini berkait isu video tular mempersenda upacara agama lain.

Tiga penyampai radio itu dilihat tiba kira-kira 10.30 pagi menaiki kereta Toyota Vellfire berwarna hitam, manakala tiga lagi kakitangan radio terbabit tiba berasingan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata siasatan dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.

Setakat ini, 44 laporan polis dibuat di seluruh negara berkaitan isu video terbabit dan kes disiasat di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Razarudin sebelum ini memaklumkan semakan polis mendapati rakaman video itu sudah ditonton 95,400 kali dan turut dikongsi 204 pengguna di media sosial, namun hasil pemeriksaan yang dilakukan mendapati video itu sudah pun dipadamkan pihak stesen radio berkenaan.

Setelah menerima pelbagai kecaman, tiga penyampai radio berkenaan tampil memohon maaf berikutan penghasilan video kontroversi itu yang dilihat mempersendakan upacara tarian agama Hindu.

Berikutan itu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil turut mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalankan siasatan terperinci setelah menerima aduan daripada pelbagai pihak berhubung tindakan kakitangan stesen radio berkenaan.

--  BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan