WILAYAH - UTARA > BERITA

Pulau Pinang-Kazakhstan Jalin Kerjasama Dalam Perdagangan, Perniagaan, Pelancongan

05/03/2025 03:18 PM

GEORGE TOWN, 5 Mac (Bernama) -- Pulau Pinang dan Kazakhstan terus meneroka peluang dan nilai bersama dengan memperluaskan kerjasama dalam perdagangan, perniagaan serta pelancongan.

Pengerusi Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang Wong Hon Wai berkata penubuhan Konsulat Kehormat Republik Kazakhstan di negeri itu pada Oktober 2023 mencerminkan komitmen bersama bagi mengeratkan hubungan antara kedua-dua negara.

“Sejak sekian lama Pulau Pinang bangga dengan kepelbagaian budaya, kekayaan sejarah dan perkembangannya sebagai hab perniagaan utama dan destinasi pelancongan.

“Kami mengiktiraf potensi hubungan perniagaan yang semakin kukuh antara Pulau Pinang dan Kazakhstan.

“Keunikan negeri ini adalah hasil gabungan infrastruktur moden, lokasi yang strategik dan komitmen kepada kemampanan menjadikan ia lokasi paling sesuai bagi pertumbuhan dan pembangunan dalam industri daripada teknologi hingga pelancongan,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Perniagaan Kazakhstan-Malaysia di sini hari ini.

Pada masa sama, Wong berkata penerbangan terus antara Kuala Lumpur dan Almaty, selain kemudahan sambungan ke Pulau Pinang, menjadikan negeri itu mudah diakses kepada pengembara dan pelabur perniagaan daripada Kazakhstan.

“Pada dasarnya, kedua-dua Kazakhstan dan Pulau Pinang berkongsi komitmen bersama bagi pertumbuhan, kemampanan dan kekayaan budaya.

“Walaupun transformasi ekonomi Kazakhstan menawarkan potensi perniagaan yang besar dalam sektor seperti tenaga, pertanian dan teknologi, kedudukan Pulau Pinang yang kukuh sebagai hab serantau bagi pembuatan, pelancongan dan ekonomi digital menyediakan persekitaran yang amat sesuai bagi usaha tersebut.

“Tidak kira sama ada pelancongan, perdagangan, pertukaran budaya atau kemampanan, kedua-dua wilayah boleh mengukuhkan hubungan mereka dengan memanfaatkan kekuatan bersama ini,” katanya.

Konsulat Kehormat Republik Kazakhstan di Pulau Pinang menganjurkan forum perniagaan bertajuk “Discover the Heart of Eurasia” dengan sokongan Kedutaan Republik Kazakhtan ke Malaysia.

Ia dihadiri pemain industri utama dari Malaysia dan Kazakhstan bagi meneroka pasaran baharu dan perniagaan yang luas dalam pelbagai sektor seperti pembangunan, pembuatan, pelancongan, bahan galian dan perlombongan, pendidikan serta pelaburan lain.

Sementara itu, Duta Republik Kazakhstan ke Malaysia Bulat Sugurbayev berkata hubungan perdagangan antara Malaysia dan Kazakhstan telah menunjukkan pemulihan kukuh susulan pandemik.

Beliau berkata tahun ini, mereka memperkenalkan peluang perniagaan tambahan di Kazakhstan untuk diterokai oleh pemain industri utama Malaysia, sekali gus meningkatkan hubungan ekonomi antara dua negara.

“Di Kazakhstan, kami mempunyai pasaran yang luas dan pelbagai peluang pelaburan perniagaan menarik untuk ditawarkan dan berpotensi membawa pulangan pelaburan yang tinggi kepada pelabur asing, didorong oleh kekayaan sumber ekonomi, lokasi yang strategik dan dasar mesra pelabur,” katanya.

Konsul Kehormat Republik Kazakhstan Datuk Louis Ng pula berkata pelabur Malaysia boleh memanfaatkan pertumbuhan pelbagai sektor di Kazakhstan seperti bahan galian dan perlombongan, teknologi dan pembangunan, pembuatan, pendidikan dan pelancongan.

Katanya, mereka juga boleh memanfaatkan kepakaran yang ada untuk memacu pertumbuhan yang menguntungkan dan mengembangkan perniagaan ke pasaran Asia Tengah yang pesat membangun.

Beliau turut menekankan kekayaan bahan galian yang dimiliki Kazahstan, antaranya simpanan emas, bijih besi dan logam nadir bumi.

“Ia menjanjikan peluang pelaburan kepada pemain industri emas dan barang kemas dari Malaysia yang ingin mengembangkan perniagaan mereka.

“Selain itu, Kazakhstan merupakan antara pengeluar utama mineral dunia seperti uranium, kromium, zink, plumbum dan tembaga, sekali gus meningkatkan lagi daya tarikannya sebagai destinasi pelaburan strategik,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan