WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Bekas Presiden Peru Pedro Castillo Dibicarakan Atas Tuduhan Pemberontakan

05/03/2025 05:21 PM

LIMA, 5 Mac (Bernama-Xinhua) -- Bekas Presiden Peru, Pedro Castillo mula dibicarakan pada Selasa atas dakwaan cuba melakukan rampasan kuasa dengan membubarkan Kongres pada Disember 2022, lapor Xinhua. 

"Badan Kehakiman memulakan perbicaraan terhadap bekas Presiden Pedro Castillo dan enam lagi individu yang didakwa atas kesalahan pemberontakan dan jenayah lain," menurut Mahkamah Agung Peru dalam satu hantaran di platform media sosial X. 

Perbicaraan dijalankan oleh Kamar Jenayah Khas di Penjara Barbadillo di Lima, tempat Castillo sedang ditahan. 

Antara defendan lain dalam kes terbabit termasuk Betssy Chavez dan Anibal Torres, kedua-duanya bekas presiden Majlis Menteri.

Pendakwa raya turut mendakwa bekas Menteri Dalam Negeri Willy Huerta, serta tiga bekas pegawai Polis Peru iaitu Manuel Lozada, Justo Venero dan Eder Infanzon atas tuduhan pemberontakan. 

Agensi berita negara Andina melaporkan bahawa bekas presiden itu telah menulis sepucuk surat yang menyifatkan dirinya sebagai "tebusan" di Barbadillo serta menyatakan bahawa proses kehakiman terhadapnya adalah satu "sandiwara." 

Pendakwa raya menuntut hukuman penjara selama 34 tahun terhadap Castillo serta larangan memegang jawatan awam selama tiga tahun enam bulan. Tertuduh lain berdepan hukuman penjara antara 15 hingga 25 tahun jika sabit kesalahan. 

Terdahulu, sekumpulan penyokong Castillo berkumpul di luar penjara Barbadillo sebagai tanda solidariti terhadap bekas presiden itu. 

-- BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan