KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Boehringer Ingelheim Malaysia sekali lagi diiktiraf sebagai 'Majikan Terbaik' dalam pasaran negara ini untuk tahun ketujuh berturut-turut oleh Top Employers Institute, dengan skor yang tinggi dalam kepimpinan dan pembangunan kerjaya individu.
Syarikat biofarmaseutikal itu dalam kenyataan memaklumkan pensijilan 2025 ini menegaskan komitmen syarikat terhadap persekitaran kerja luar biasa yang mengutamakan pembangunan kerjaya dan kesejahteraan pekerja, merujuk tawaran latihan kepimpinan komprehensif sebagai peranan penting dalam pencapaian ini.
Menurut kenyataan itu tawaran majikan Boehringer terus mendapat skor yang tinggi, terutamanya kategori "Steer" dan "Develop", manakala Akademi Kepimpinan dalaman syarikat mengiktiraf nilai pembangunan kepimpinan untuk persekitaran kerja yang positif dan berkembang maju.
"Ia antara contoh bagaimana Boehringer membantu mewujudkan persefahaman bersama mengenai kepimpinan dan menawarkan latihan bersasar untuk peranan kepimpinan yang berbeza," menurut syarikat itu.
Pengurus Besar Boehringer Ingelheim Malaysia, Singapura dan Indonesia serta Ketua Farmaseutikal Cheong Yee Kok berkata syarikat itu sangat berbesar hati kerana diiktiraf sebagai Majikan Terbaik untuk tujuh tahun berturut-turut.
"Ini benar-benar membuktikan syarikat berpaksikan kepada amalan mengutamakan kakitangan atau people-first. Di Boehringer Ingelheim, kami menyokong pekerja kami, sama ada yang berperanan dalam peringkat kepimpinan atau tidak untuk menentukan sendiri perkembangan mereka," katanya.
Sementara itu, Ketua Sumber Manusia Boehringer Ingelheim Malaysia, Singapura dan Indonesia Satveer Bhatt mengetengahkan komitmen syarikat terhadap pembangunan kepimpinan, dengan menyatakan bahawa pemimpin memberi impak besar kepada pengalaman dan prestasi individu, serta matlamat syarikat.
"Sama ada melangkah ke peranan kepimpinan buat pertama kali atau menjadi eksekutif kanan, latihan yang disesuaikan akan tersedia untuk semua pemimpin. Di Malaysia, kami menawarkan program pembangunan kepimpinan yang disesuaikan seperti latihan Pengurus Barisan Pertama dan Program Pembangunan Bakat Serantau untuk bakat yang sedang berkembang," katanya.
Disenarai sebagai majikan terkemuka di beberapa rantau dan negara dalam tempoh 11 tahun lepas, syarikat itu memaklumkan universiti dalaman mereka, yang mana Akademi Kepimpinan adalah sebahagian daripadanya, menawarkan kampus fizikal dan maya yang canggih yang boleh diakses kesemua 53,500 kakitangannya di seluruh dunia.
Ia berkata tawaran kepimpinan itu juga merangkumi program kesejahteraan pekerja holistik Boehringer yang merangkumi kesihatan mental, fizikal, sosial dan kewangan, manakala model kerja fleksibel syarikat turut menjadi antara penyumbang kepada pendekatan kesejahteraan berkenaan.
"Contoh terkini adalah faedah yang dipertingkatkan, yang antaranya termasuk cuti menjaga keluarga, cuti pengangkatan dan perlindungan kesihatan mental. Ini berkait rapat dengan usaha syarikat kami dalam memajukan usaha kepelbagaian, kesaksamaan dan keterangkuman (DEI) dengan memasukkan DEI ke dalam faedah pekerja kami.
"Secara keseluruhannya, Boehringer mengambil pendekatan bersepadu untuk membina persekitaran kerja yang menarik dengan program ganjaran dan manfaat yang adil, kompetitif dan telus. Ia memenuhi keperluan pekerja pada setiap peringkat kerjaya dengan tawaran yang penting untuk situasi peribadi mereka," menurut syarikat itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial