GEORGE TOWN, 6 Mac (Bernama) -- Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 11 bulan dan denda RM2,000 terhadap seorang tukang cuci setelah mengaku bersalah atas pertuduhan memecah masuk pejabat Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Disember tahun lepas.
Majistret Mohamad Azlan Basri menjatuhkan hukuman itu terhadap C. Murli, 47, dan memerintahkannya dipenjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda.
Dia didakwa memecah masuk ke pejabat Pusat Khidmat ADUN Komtar yang digunakan sebagai pejabat pentadbiran untuk mencuri wang utiliti pejabat berkenaan pada 8.11 malam, 26 Dis, 2024.
Menurut fakta kes, pada 27 Dis 2024, seorang pekerja pejabat ADUN Komtar mendapati laci yang mengandungi beg berisi wang tunai dalam keadaan berselerak, dan wang tunai berjumlah RM7,259 yang diperuntukkan untuk pembayaran utiliti, telah hilang.
Hasil pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati tertuduh memecah masuk pejabat tersebut pada 8.11 malam, 26 Dis serta mencuri wang berkenaan. Selain itu, cap jari tertuduh turut ditemukan di lokasi kejadian.
Terdahulu, Murli yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia hanya bekerja sebagai tukang cuci dengan pendapatan RM50 sehari.
Timbalan Pendakwa Raya Syairah Aqilah Khalil memohon hukuman setimpal terhadap tertuduh.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial