WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Dua Lelaki Ditahan Miliki Senapang Buatan Sendiri Disiasat Edar Dadah

11/03/2025 04:13 PM

SIBU, 11 Mac (Bernama) -- Polis mengesahkan dua lelaki yang ditahan kerana memiliki selaras senapang patah buatan sendiri dan dadah jenis syabu seberat 6.18 gram pada  Ahad lepas,  kini turut disiasat atas kemungkinan terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata suspek masing-masing berusia 20 dan 35 tahun diberkas dalam satu serbuan di sebuah rumah di Ladang Lengan, Batang Lebaan, Tanjung Manis dekat sini.

“Suspek tiada rekod jenayah lampau. Siasatan kini dijalankan sama ada mereka pengedar atau tidak. Siasatan juga dijalankan berhubung kaitan senapang patah itu dengan mereka,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata polis turut merampas enam butir peluru dan suspek direman sejak semalam untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 39(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

“Seksyen 39(A) memperuntukkan hukuman penjara mandatori dan sebat, dengan minimum dua tahun penjara dan tiga sebatan jika sabit kesalahan, manakala Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 pula membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan