WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Bicara Kes Saman Tuntutan Tanah Adat Kelaik Bersambung Pada 15 Jun Ini

12/03/2025 04:50 PM

KOTA BHARU, 12 Mac (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan tujuh hari bermula 15 Jun depan untuk menyambung perbicaraan kes saman berhubung tuntutan tanah adat penduduk Orang Asli dari Kampung Kelaik, Gua Musang terhadap 14 entiti.

Hakim Hasbullah Adam menetapkan 15 hingga 16 Jun, 26 hingga 27 Ogos dan 27 hingga 29 Okt, untuk  sambung bicara kes itu di hadapannya hari ini.

Terdahulu peguam Sachpreetraj Singh Sohanpal memaklumkan seorang saksi plaintif akan dipanggil memberi keterangan sebelum sesi pemeriksaan semula dan soal balas oleh pihak defendan.

Sachpreetraj Singh turut memohon pihak Mahkamah dan defendan supaya mengadakan lawatan ke tanah adat Orang Asli Kampung Kelaik, Gua Musang untuk melihat dan menilai sendiri keadaan sebenar di kawasan terbabit.

Hasbullah kemudiannya meminta peguam plaintif memasukkan notis permohonan bersama afidavit secara rasmi supaya mahkamah dapat putuskan selepas sesi soal balas plaintif pada Jun depan.

Setakat ini, seramai enam saksi plaintif telah dipanggil memberi keterangan termasuk tiga wakil Orang Asli iaitu Ahak Uda, 58, Aziz Angah, 37, dan Anjang Uda, 34.

Sebelum ini, plaintif memfailkan saman itu pada Mac 2021 bagi pihak diri mereka dan penduduk Kampung Kelaik di Mahkamah Tinggi Kota Bharu, untuk memohon pengisytiharan bahawa mereka pemilik sah tanah pusaka terbabit.

Mereka menamakan Syarikat Perlombongan Gua Musang Sdn Bhd, Redstar Capital Sdn Bhd, Aqua Orion Sdn Bhd, Damai Corporate Services Sdn Bhd, Sindiyan Sdn Bhd dan Sindiyan Agro Park Sdn Bhd, Ladang Kelantan Sdn Bhd, Ikrar Bumi Sdn Bhd, Ladang Ulu Nenggiri Sdn Bhd, Iliasco Engineering & Construction Sdn Bhd sebagai defenden pertama hingga ke-10.

Turut dinamakan sebagai defendan ialah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Kelantan, Pejabat Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan kerajaan negeri Kelantan selaku defendan ke-11 hingga ke-14.

Bagi defenden ke-11, 12 dan 14 adalah dari Pejabat Tanah dan Galian Negeri Kelantan, Pejabat Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan dan Kerajaan Negeri Kelantan telah diwakili Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Kelantan, manakala defenden ke-13 iaitu JAKOA pula diwakili Jabatan Peguam Negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan