WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Korea Selatan Laksana Langkah Kecemasan Susulan Penguatkuasaan Tarif Keluli AS

12/03/2025 06:48 PM

SEOUL, 12 Mac (Bernama-Yonhap) -- Kerajaan Korea Selatan akan mengaktifkan mod tindak balas kecemasan sepenuhnya susulan penguatkuasaan tarif Amerika Syarikat (AS) ke atas semua import keluli dan aluminium pada Rabu, menurut Kementerian Perindustrian negara itu, di tengah-tengah usaha untuk mengurangkan kesan dasar baharu AS terhadap industri tempatan.

Menurut Agensi Berita Yonhap, Kementerian Perdagangan, Perindustrian dan Tenaga mengadakan mesyuarat bersama pegawai daripada pelbagai persatuan perniagaan, industri, institut akademik dan institusi sokongan bagi merangka strategi menghadapi dasar tarif baharu pentadbiran Presiden Donald Trump.

Dalam mesyuarat itu, Menteri Perindustrian Ahn Duk-geun berkata kementeriannya akan memperkukuh komunikasi dengan industri tempatan serta mempertingkatkan langkah tindak balas terhadap tarif AS bagi melindungi kepentingan syarikat Korea.

"Kami akan mengatur pertemuan antara pegawai perdagangan kanan dari Seoul dan Washington untuk rundingan, serta memantau dengan teliti langkah tindak balas negara utama lain yang turut terkesan oleh tarif AS," katanya.

Mesyuarat itu diadakan berikutan penguatkuasaan tarif 25 peratus pentadbiran Trump ke atas semua import keluli dan aluminium pada 1.01 tengah hari (waktu Korea).

Korea Selatan adalah pengeksport keluli keempat terbesar ke AS tahun lepas, menyumbang sembilan peratus daripada jumlah import keluli Washington, menurut data Pentadbiran Perdagangan Antarabangsa AS (ITA).

Negara itu juga adalah pengeksport aluminium keempat terbesar ke AS, merangkumi kira-kira empat peratus daripada jumlah import aluminium negara itu.

Washington turut merancang mengenakan levi terhadap pelbagai barangan lain, termasuk kenderaan, semikonduktor dan farmaseutikal, serta tarif timbal balik ke atas rakan dagangannya dalam masa terdekat.

Bagi membantu syarikat Korea menangani tarif AS, kementerian perindustrian merancang untuk mengadakan sesi taklimat mengenai dasar perdagangan Washington, mengendalikan pusat bantuan kecemasan dan menyediakan khidmat nasihat mengenai strategi perniagaan, termasuk kepelbagaian destinasi eksport serta pemindahan lokasi kemudahan pengeluaran.

Kementerian itu juga merancang untuk merangka strategi bagi memperkukuh daya saing global industri utama seperti pengeluar kenderaan.

Dalam temu bual baru-baru ini bersama Agensi Berita Yonhap, Menteri Perdagangan Cheong In-kyo berkata kerajaan akan berusaha mengenal pasti dengan segera kehendak pentadbiran Trump dalam rundingan tarif dan berusaha mendapatkan penilaian positif terhadap sumbangan Korea Selatan kepada ekonomi AS menerusi pelaburan korporat besar-besaran yang berjumlah lebih US$160 bilion sejak penggal pentadbiran Trump yang pertama.

Susulan lawatan Ahn ke Washington akhir bulan lepas,  Seoul menubuhkan badan perundingan untuk mempromosikan kerjasama dua hala dalam industri pembinaan kapal dan tenaga bersama AS sebagai sebahagian daripada rundingan mengenai pelan tarif Trump.

Korea Selatan turut menyatakan minat untuk menyertai projek pembangunan saluran paip gas di Alaska, salah satu agenda utama Trump, sebagai usaha meningkatkan import tenaga dari AS sekali gus mengurangkan lebihan dagangannya.

-- BERNAMA-YONHAP 



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan