WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Majlis Tenaga Sabah Luluskan 1,000 MW Atasi Kekurangan Bekalan Elektrik - Hajiji

12/03/2025 10:04 PM

KOTA KINABALU, 12 Mac (Bernama) -- Majlis Tenaga Sabah meluluskan hampir 1,000 megawatt (MW) tenaga elektrik yang akan dijana melalui beberapa projek penjanaan elektrik bagi meningkatkan keperluan tenaga di negeri itu, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Hajiji, yang juga Pengerusi Majlis Tenaga Sabah, berkata projek berkenaan termasuk membina hidro elektrik dan penggunaan kaedah lain seperti solar serta turbin angin yang telah diluluskan kepada beberapa syarikat tempatan.

"Jika projek yang dirancang itu dapat dilaksanakan, pengguna di Sabah dijangka tidak lagi berdepan dengan kekurangan bekalan elektrik dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

“Walaupun berlaku gangguan, ia tidaklah seteruk gangguan elektrik yang pernah berlaku beberapa tahun lalu," menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Hajiji berkata beliau yakin masalah bekalan elektrik di Sabah mampu diatasi oleh Sabah Electricity melalui pelaksanaan Sistem Simpanan Tenaga Bateri yang sedang dibangunkan dalam usaha menambah baik bekalan tenaga elektrik di negeri itu.

Sementara itu, Hajiji berkata masalah bekalan air juga akan dapat diselesaikan apabila pelaksanaan projek peningkatan kapasiti loji rawatan air (LRA) di seluruh negeri siap melalui peruntukan yang disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan sebanyak RM300 juta.

Beliau berkata untuk Daerah Tuaran, LRA Telibong Satu dan Telibong Dua telah siap dan mampu menjana hingga 160 juta liter sehari air bersih untuk kegunaan pengguna di Tuaran serta Kota Kinabalu.

Hajiji juga berkata ketika ini, ia hanya menunggu projek pemasangan paip dari loji di Telibong ke Kota Kinabalu yang dijangka siap pada Jun depan.

“Apabila siap nanti, kita percaya tiada lagi masalah kekurangan bekalan air khususnya di Tuaran, Taman Perindustrian Kota Kinabalu dan sebahagian kawasan Kota Kinabalu termasuk Universiti Malaysia Sabah,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan