WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Ismail Sabri Selesai Beri Keterangan Di SPRM Selepas Lebih Lima Jam

13/03/2025 05:00 PM

PUTRAJAYA, 13 Mac (Bernama) -- Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selesai memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Beliau dilihat meninggalkan ibu pejabat SPRM pada jam 3.13 petang dan sempat melambai kepada pengamal media yang menunggu sejak pagi.

Bagaimanapun cubaan media untuk mendapatkan maklum balas tidak berjaya.

Difahamkan beliau dijangka menyambung memberi keterangan esok.

Rakaman percakapan Ismail Sabri sepatutnya diambil pada 7 Mac lepas, namun ditangguhkan ke hari ini atas faktor kesihatan.

Sebelum itu, perdana menteri kesembilan itu dikejarkan ke sebuah pusat perubatan swasta selepas rebah di rumahnya pada 21 Feb lepas.

Pada 3 Mac, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata Ismail Sabri adalah suspek bagi siasatan kes rasuah serta pengubahan wang haram, susulan penemuan wang tunai kira-kira RM170 juta di dalam sebuah safe house susulan serbuan dilakukan pihaknya.

Wang tunai dalam pelbagai mata wang antarabangsa antaranya baht, riyal, pound sterling, won, euro, Franc Swiss dan yuan, manakala 16 kilogram jongkong emas tulen yang turut disita dianggarkan bernilai hampir RM7 juta.

SPRM juga dilaporkan menyita 13 akaun membabitkan nilai lebih RM2 juta bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Fokus siasatan tertumpu kepada perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi serta publisiti semasa beliau menerajui negara.

Sementara itu, Ismail Sabri dalam satu kenyataan ringkas berkata beliau akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sehingga siasatan berhubung kes berkenaan selesai.

"Hari ini, saya telah hadir ke ibu pejabat SPRM untuk memberikan keterangan. Saya akan terus memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa sehingga siasatan selesai," katanya.

Terdahulu, beliau tiba di pejabat SPRM pada 9.46 pagi.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan