WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PM Anwar Arah KKDW Segerakan, Pantau Rapi Projek Infrastruktur Asas Rakyat

13/03/2025 06:27 PM

KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengarahkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) supaya menyegerakan projek-projek infrastruktur asas yang melibatkan kepentingan rakyat terutama masyarakat luar bandar. 

Beliau berkata ia antaranya melibatkan kemudahan jalan, bekalan elektrik, bekalan kemudahan solar, bekalan air, jalan perhubungan desa, program ameniti sosial dan projek perumahan rakyat sejahtera di luar bandar.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pelaksanaan projek-projek itu perlu dipantau rapat secara menyeluruh, tepat dan terkini untuk dilaporkan kepada menteri dan seterusnya kepada Kabinet agar isu-isu berbangkit dapat diselesaikan segera.

“Saya turut tekankan keperluan KKDW mengutamakan bidang STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) untuk pelajar luar bandar, selain meminta agensi kementerian melaksanakan langkah proaktif dan menetapkan garis masa serta tempoh latihan yang bersesuaian secara berkesan,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.

Perdana Menteri menekankan perkara itu ketika mempengerusikan mesyuarat bersama pimpinan KKDW diketuai Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah di Putrajaya hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata mesyuarat itu turut membincangkan mengenai penambahbaikan serta perubahan mekanisme dan dasar secara teratur, kompetitif serta bersesuaian dengan arus pendigitalan selain perubahan ekonomi pada peringkat global.

Anwar menerusi hantaran sama memaklumkan usai mesyuarat, beliau menghadiri Majlis Ihya’ Ramadan bersama keluarga besar KKDW untuk mengamati tausiah bertajuk "Ramadan Yang Sempurna" oleh Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Sumber Manusia Majlis Amanah Rakyat (MARA) Ustaz Asri Hassan.

“Sewaktu kita terus mempertingkatkan amalan ibadah dalam bulan Ramadan, saya percaya warga KKDW terus setia memegang amanah yang luhur memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat. Ikhtiar membantu dan meratakan kesejahteraan juga adalah sebahagian amalan yang dituntut dalam agama.

“Semoga dengan dorongan madrasah Ramadan kali ini, ia pemangkin memacu kekuatan dalaman diri untuk bekerja lebih kuat dan terbaik buat rakyat terbanyak. Saya berdoa agar kita mendapat manfaat daripada usaha kecil ini dalam mengangkat martabat dan kualiti insan,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan