WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Wai Kru Muay Thai Sedunia Ke-17: 2,000 Peserta Dan Peminat Berkumpul Di Ayutthaya

18/03/2025 03:01 PM

Oleh Kenny Teng

AYUTTHAYA (Thailand), 18 Mac (Bernama) -- Ribuan pengamal seni bela diri Muay Thai dari seluruh dunia berhimpun pada Isnin (17 Mac) untuk menghadiri upacara Wai Kru Muay Thai Sedunia ke-17, meraikan tradisi mendalam sukan ini serta memperkukuhkan tarikannya di peringkat antarabangsa.  

Acara berprestij yang diadakan di dalam Taman Bersejarah Ayutthaya itu menarik kehadiran kira-kira 2,000 peserta dan peminat, termasuk warga tempatan dan pelancong dari pelbagai negara.  

Jurulatih Muay Thai Malaysia Kiang Saiprawat, 50, berkata beliau membawa pasukannya menyertai tradisi itu bagi mendapatkan pengalaman berharga serta mendalami budaya Muay Thai, khususnya di Ayutthaya, Thailand.  

"Sebagai jurulatih, saya sentiasa mencari peluang untuk mendedahkan anak didik saya kepada sukan ini serta aspek budayanya agar mereka dapat meningkatkan kemahiran dalam gelanggang.  

"Upacara ini adalah satu peluang luar biasa kerana tahun ini ia menghimpunkan peserta dari lebih 40 negara," katanya kepada Bernama pada Isnin.  

Walaupun Muay Thai tidak begitu popular di Malaysia berbanding di Thailand, Kiang yakin sukan itu berpotensi meraih pingat dan mengharumkan nama negara, terutama dalam temasya Sukan SEA.  

"Penyertaan kami di sini juga membuka peluang untuk mengenal pasti dan membimbing bakat baharu dalam seni bela diri ini," katanya.  

Sementara itu, atlet Muay Thai kebangsaan, Athachai Saiprawat, 23, berkata beliau menyertai upacara Wai Kru Muay Thai bagi mendalami budaya sukan ini, yang disifatkannya sebagai elemen penting untuk mencapai kejayaan.  

"Ketika sparring dengan pengamal Muay Thai dari pelbagai negara, kita dapat mempelajari teknik dan kemahiran baharu daripada mereka," katanya.  

Athachai, pemenang tiga pingat gangsa di Sukan SEA 2023 di Kemboja, menegaskan bahawa pemahaman terhadap aspek budaya sukan ini amat penting, terutamanya bagi kategori "Wai Kru".  

Upacara "Wai Kru Muay Thai" 2025 dirasmikan oleh Menteri Pelancongan dan Sukan Thailand, Sorawong Thienthong.  

Antara kemuncak acara ialah pemakaian ikat kepala bertuah serta tarian "Wai Kru" secara beramai-ramai, satu tradisi yang menghormati guru-guru Muay Thai.  

Upacara dipimpin oleh beberapa jaguh profesional Muay Thai terkenal, termasuk Prajanchai PKSaenchai Muaythaigym, Ferrari Fairtex, Yodkaikaew Fairtex dan Saemapetch Fairtex.  

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan