BERITA TERGEMPAR | PM Anwar akan teruskan tradisi Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI di lapan negeri, bermula di Melaka, 5 April ini -Setiausaha Akhbar | | PM Anwar akan teruskan tradisi Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI di lapan negeri, bermula di Melaka, 5 April ini -Setiausaha Akhbar | |
PUTRAJAYA, 24 Mac (Bernama) -- Mahkamah Persekutuan di sini hari ini menolak bantahan awal yang dibangkitkan Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap permohonan Peguam Negara untuk mendapatkan kebenaran merayu berhubung kewujudan dokumen tambahan dalam kes membabitkan bekas perdana menteri itu.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Hakim Besar Malaya Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim dalam keputusan sebulat suara berkata tujuh soalan undang-undang yang dicadangkan oleh Peguam Negara (AG) sebagai pemohon, adalah berkaitan dengan isu mengemukakan bukti baharu.
“Oleh itu bantahan awal ditolak tanpa perintah mengenai kos," kata Hasnah, yang bersidang bersama hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah.
Prosiding hari ini kemudiannya diteruskan dengan panel mendengar permohonan untuk kebenaran merayu.
Terdahulu Peguam Negara Datuk Mohd Dusuki Mokhtar berkata bantahan awal yang dibangkitkan oleh peguam bela Najib tidak seharusnya dilayan oleh mahkamah.
"Kami membantah PO (bantahan awal) yang dibangkitkan oleh peguam bela. Permohonan kami untuk kebenaran merayu bukan perkara interlokutori," katanya.
Sementara itu peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata permohonan AG untuk kebenaran merayu adalah tidak kompeten dan harus dibatalkan oleh mahkamah.
"Notis usul harus ditolak kerana persoalan undang-undang tidak memenuhi ambang yang diperlukan untuk kebenaran merayu di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964," katanya.
Pada 6 Jan Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1, mengembalikan kes Najib berhubung dakwaan mengenai kewujudan dokumen tambahan yang dikatakan membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara enam tahun di rumah ke Mahkamah Tinggi, untuk pendengaran meritnya.
Keputusan ini mengetepikan penghakiman Mahkamah Tinggi sebelum ini, yang telah menolak permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman berhubung dokumen tambahan yang didakwa.
Najib, 71, dalam permohonan semakannya memohon perintah mandamus bagi mengarahkan responden memberi jawapan serta mengesahkan kewujudan dokumen tambahan bertarikh 29 Jan tahun lepas.
Beliau menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu turut memohon perintah agar sekiranya dokumen tambahan tersebut wujud, semua responden atau mana-mana seorang daripada mereka melaksanakannya serta-merta, termasuk memindahkannya dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur bagi menjalani baki hukuman penjara di rumah.
Pada 3 Julai tahun lepas, Hakim Datuk Amarjeet Singh yang menolak permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman, memutuskan bahawa empat afidavit yang dikemukakan bagi menyokong dakwaan Najib termasuk kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, dianggap sebagai khabar angin dan tidak boleh diterima sebagai bukti di mahkamah.
Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Mahkamah Tinggi sebelum itu menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, dan keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Persekutuan selepas menolak rayuan Najib.
Beliau kemudiannya memfailkan petisyen bagi mendapatkan pengampunan diraja pada 2 Sept 2022, dan Lembaga Pengampunan pula kemudiannya mengurangkan hukuman penjara daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
-- BERNAMA
© 2025 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan