ARAFAT (Arab Saudi), 5 Jun (Bernama-SPA) -- Imam dan Khatib Masjidil Haram, Sheikh Dr Saleh bin Abdullah bin Humaid menegaskan bahawa Hari Arafah merupakan suatu detik yang amat bermakna apabila umat Islam berkumpul dalam satu kesatuan, mencerminkan inti pati sebenar keimanan.
Menurut Agensi Berita Saudi (SPA), beliau dalam khutbah Arafah menekankan prinsip asas Islam, rukun penting serta sifat yang menggambarkan pengabdian tulus kepada Allah.
Beliau turut menggesa para jemaah agar memperbanyakkan pujian kepada Allah dan mempertingkatkan amalan doa pada hari mulia ini, yang dikenali sebagai waktu yang doa dimakbulkan dan ganjaran amalan digandakan.
Dalam laporan berasingan, SPA turut melaporkan bahawa Jabal Al-Rahmah di Arafah pada Khamis menyaksikan kehadiran ramai jemaah yang mula berkumpul sejak awal pagi, memenuhi lereng bukit itu untuk berdoa dan memohon keampunan serta rahmat.
Mercu tanda penting itu yang terletak kira-kira 17 kilometer dari Masjidil Haram dan berketinggian 65 meter, mempunyai nilai keagamaan mendalam kerana di sinilah Nabi Muhammad SAW menyampaikan Khutbah Wida’.
Sebagai cerminan komitmen kepimpinan terhadap kebajikan jemaah, projek baharu meliputi keluasan 196,000 meter persegi telah dilaksanakan di sekitar Jabal Al-Rahmah bagi menangani tekanan haba, menurut laporan itu.
Inisiatif tersebut termasuk 1,200 meter persegi kawasan berbumbung yang dilengkapi 129 kipas pancutan kabus bagi menyejukkan suasana dan menurunkan suhu demi memastikan persekitaran yang selesa dan selamat untuk para jemaah.
-- BERNAMA-SPA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial