WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Sze Fei-Izzuddin Ketuai Kemaraan Lima Wakil Negara Ke Suku Akhir Terbuka Indonesia

06/06/2025 12:11 AM

KUALA LUMPUR, 5 Jun (Bernama) - Beregu lelaki profesional negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani terus membuktikan taring mereka di pentas antarabangsa apabila mengetuai kemaraan lima wakil negara ke peringkat suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia 2025.

Dalam aksi penuh debar di Istora Senayan, Jakarta, hari ini, pasangan No.1 dunia itu tidak diberi laluan mudah oleh rakan senegara Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong, sebelum mencatat kemenangan 21-14, 16-21, 21-14 dalam tempoh 54 minit pada pusingan kedua.

Kemenangan itu menyaksikan juara Terbuka India Januari lepas itu bakal berentap dengan wakil tuan rumah, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani, dalam perebutan tempat ke separuh akhir.

Mengiringi Sze Fei-Nur Izzuddin ialah juara Masters Malaysia, Mei lepas, Man Wei Chong-Tee Kai Wun selepas menundukkan rakan senegara Junaidi Arif-Yap Roy King 14-21, 21-11, 21-15.

Gandingan nombor tujuh dunia itu akan berdepan Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dari India.

Dalam saingan beregu campuran, pilihan kedua Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menepati ramalan ke suku akhir selepas menumbangkan Mads Vestergaard-Christine Busch dari Denmark 21-9, 21-12 dalam tempoh 31 minit dan akan bertemu satu lagi pasangan dari Denmark Jespert Toft-Amalie Magelund.

Turut ke pusingan lapan terbaik itu ialah gandingan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie yang menewaskan Amri Syahnawi-Nita Violina Marwah dari Indonesia 21-12, 21-17 untuk membuat perhitungan dengan Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran dari Thailand.

Sementara itu, beregu wanita utama negara Pearly Tan-M. Thinaah mengesahkan tempat ke suku akhir selepas bangkit daripada ketinggalan untuk merakam kemenangan berdepan Lanny Tria Mayasari-Siti Fadia Silva Ramadhanti dari Indonesia 18-21, 21-16, 21-17.

Beregu nombor empat dunia itu akan bertemu pasangan dari Jepun Rin Iwanaga-Kie Nakanishi yang menundukkan gandingan negara Ong Xin Yee-Carmen Ting 21-15, 21-16 di pusingan kedua.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi perseorangan lelaki negara Leong Jun Hao dalam kejohanan bertaraf Super 1000 itu apabila terkandas di pusingan kedua selepas tewas straight set 18-21, 18-21 kepada pilihan keempat kejohanan dari China, Li Shi Feng.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan