WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pilihan Raya Umum Bangladesh Pada April 2026 - Yunus

07/06/2025 08:52 AM

DHAKA, 7 Jun (Bernama-Anadolu) -- Bangladesh akan mengadakan pilihan raya umum seterusnya pada April 2026, kata pemimpin interim Muhammad Yunus pada Jumaat, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Dalam ucapan yang disiarkan di televisyen, penerima Hadiah Keamanan Nobel berusia 84 tahun itu berkata mandat utama pentadbirannya tertumpu kepada pembaharuan, keadilan dan pemulihan demokrasi melalui pilihan raya.

“Selepas menilai aktiviti pembaharuan yang sedang dilaksanakan dalam bidang keadilan, pembaharuan dan pilihan raya, saya ingin memaklumkan kepada rakyat bahawa pilihan raya umum akan diadakan pada bila-bila masa dalam separuh pertama April 2026,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya negara itu akan mengumumkan pelan hala tuju yang lebih terperinci pada masa sesuai.

Yunus mengetuai pentadbiran sementara sejak penyingkiran bekas Perdana Menteri Sheikh Hasina, yang melarikan diri ke India selepas tercetusnya kebangkitan yang dipimpin oleh pelajar pada Ogos tahun lalu.

Kerajaan sementara itu dibentuk susulan desakan untuk pembaharuan institusi dan kebertanggungjawaban yang lebih besar, selepas beberapa tahun dilanda ketegangan politik.

“Antara tanggungjawab terbesar kerajaan ini adalah memastikan pilihan raya yang telus dan disertai secara meluas, supaya negara tidak terjerumus ke dalam fasa krisis baharu,” katanya.

Beliau menekankan bahawa pembaharuan institusi kekal sebagai keutamaan utama.

Pengumuman Yunus itu dibuat ketika tekanan daripada parti-parti politik, khususnya parti pembangkang utama Bangladesh Nationalist Party (BNP), semakin meningkat. 

BNP menuntut agar pilihan raya diadakan selewat-lewatnya Disember 2025.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan