WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Amerika Syarikat Kerah 700 Anggota Marin Di Los Angeles Di Tengah Protes Imigrasi

10/06/2025 05:11 PM

(menukar perkataan pengawal nasional kepada pengawal kebangsaan)

 

HOUSTON (Amerika Syarikat), 10 Jun (Bernama-Anadolu) -- Komando Utara Amerika Syarikat (USNORTHCOM) pada Isnin mengumumkan bahawa seramai 700 anggota Marin akan dikerah ke Los Angeles, California bagi membantu usaha menangani protes imigresen yang sedang berlangsung, lapor Anadolu Ajansi (AA).

USNORTHCOM dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa langkah itu bertujuan untuk memperkukuh Pasukan Petugas 51 dengan menyediakan tenaga kerja mencukupi bagi “memberi liputan berterusan di kawasan berkenaan untuk menyokong agensi persekutuan yang mengetuai usaha itu.”

Pada masa ini, Pasukan Petugas 51 terdiri daripada kira-kira 2,100 anggota Pengawal Kebangsaan di bawah Status Tajuk 10 serta 700 anggota Marin aktif yang terlatih dalam taktik meredakan ketegangan, kawalan orang ramai dan peraturan penglibatan.

Gabenor California Gavin Newsom mengkritik penghantaran pasukan itu dan menyifatkannya sebagai “tidak berperikemanusiaan.”

“Mereka adalah wira. Mereka tidak sepatutnya dikerah ke tanah air mereka sendiri untuk berhadapan dengan rakyatnya demi memenuhi fantasi gila seorang Presiden yang bersifat diktator,” kata Newsom di platform media sosial X.

Penghantaran anggota Marin ini menandakan peningkatan ketara dalam tindak balas Presiden Donald Trump terhadap protes berkenaan, susulan pengumuman terdahulu oleh Setiausaha Pertahanan AS Pete Hegseth dan USNORTHCOM bahawa 500 anggota Marin akan dikerahkan.

Setakat ini, 300 anggota Briged Tempur Infantri ke-79, Pengawal Kebangsaan Tentera California tiba di Los Angeles dan dijangka berada di situ sehingga 60 hari.

Gabenor Newsom dan Datuk Bandar Los Angeles Karen Bass menzahirkan bantahan terhadap penghantaran pasukan persekutuan itu, menegaskan bahawa pihak berkuasa tempatan mampu mengendalikan keadaan. 

Mereka menuduh Trump menggunakan tentera persekutuan sebagai langkah politik untuk memburukkan keadaan.

Newsom pada Isnin turut mengumumkan saman terhadap Trump, mendakwa tindakan Presiden itu melanggar perlembagaan negara dan kedaulatan negeri.

“Kami menyaman Donald Trump. Ini adalah krisis yang direka-reka,” kata Newsom di X. 

“Dia mencipta ketakutan dan kegentaran untuk mengawal pasukan keselamatan negeri dan melanggar perlembagaan AS.”

Trump menolak kritikan itu dan mempertahankan langkah kerajaan persekutuan.

“Saya rasa keadaan ini kini terkawal. Dahulu ia menuju ke arah yang salah. Sekarang ia menuju ke arah yang betul. 

“Kami berharap dapat sokongan daripada Gavin, kerana Gavin akan mendapat manfaat besar apabila kami betulkan masalahnya. Maksud saya, negerinya sudah menjadi kucar-kacir,” katanya. 

Protes tercetus pada Jumaat lalu selepas ejen Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE) melakukan serbuan di beberapa premis perniagaan tempatan dan menahan ratusan individu tanpa dokumen.

Pentadbiran Trump menyatakan operasi ICE akan diteruskan sebagai sebahagian daripada tindakan keras kerajaan terhadap pendatang tanpa izin.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan