WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Setiausaha Agung NATO Desak Tingkatkan Pertahanan Udara Dan Peluru Berpandu Sehingga 400 Peratus

10/06/2025 05:20 PM

BRUSSELS, 10 Jun (Bernama-Anadolu) -- Setiausaha Agung Pertubuhan Perjanjian Atlantic Utara (NATO), Mark Rutte, pada Isnin menggesa perikatan itu meningkatkan kemampuan pertahanan udara dan peluru berpandu sebanyak 400 peratus, dengan alasan kekurangan ketenteraan kritikal dan ancaman yang semakin meningkat daripada Rusia dan China.

Dalam ucapan di Chatham House, London, Rutte berkata Rusia sedang mempercepat usaha pemodenan ketenteraan dan mengatasi NATO dalam pengeluaran peluru.

“Rusia menghasilkan dalam masa tiga bulan apa yang keseluruhan NATO hasilkan dalam setahun,” katanya, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Rutte mencadangkan sasaran baharu perbelanjaan pertahanan iaitu lima peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK), dengan 3.5 peratus daripadanya diperuntukkan bagi keperluan ketenteraan teras manakala selebihnya disalurkan untuk infrastruktur dan keupayaan industri.

Beliau menekankan bahawa cabaran utama ketika ini adalah pengeluaran, bukan hanya pembiayaan semata-mata.

“Jelas sekali di seluruh perikatan, kita tidak menghasilkan secukupnya. Jadi ketika kita meningkatkan pelaburan pertahanan, kita juga perlu meningkatkan pengeluaran pertahanan,” katanya.

Rutte turut memberi amaran bahawa kelewatan dalam pembuatan bermakna beberapa sistem pertahanan udara canggih hanya akan dapat dihantar dalam tempoh sedekad jika ditempah hari ini — satu jangka masa yang disifatkannya tidak boleh diterima.

Beliau menggesa supaya stok simpanan diperluas secara besar-besaran, termasuk ribuan kenderaan berperisai, berjuta-juta peluru artileri dan kemampuan tambahan dalam bidang logistik, sokongan perubatan, dron, siber dan angkasa lepas.

“Hakikatnya, kita memerlukan lonjakan besar dalam pertahanan kolektif kita. 

"Hakikatnya, bahaya tidak akan lenyap, walaupun perang di Ukraine berakhir,” katanya.

Sambil mengulangi pendirian pertahanan NATO, Rutte turut memberi amaran tegas kepada mana-mana pihak yang berhasrat mencabar perikatan itu.

“Kami amat serius — jika sesiapa cuba menyerang kami, akibatnya akan menjadi amat dahsyat bagi penyerang itu,” katanya.

Rutte berkata bahawa sidang kemuncak NATO yang akan datang di The Hague pada 24 dan 25 Jun ini akan menjadi detik penting untuk merumuskan pendekatan keselamatan jangka panjang perikatan itu, termasuk sokongan berterusan kepada Ukraine.

Terdahulu, Rutte turut bertemu Perdana Menteri Britain Keir Starmer di 10 Downing Street bagi membincangkan peningkatan pengeluaran pertahanan dan usaha mengekalkan sokongan kepada Kyiv.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan