NICE, 10 Jun ( Bernama-CMG) -- Pihak terbabit harus menggalas tanggungjawab yang diamanahkan ke arah mencapai matlamat pembangunan lestari dalam pelbagai bidang, kata Naib Presiden China Han Zheng.
Han berkata demikian dalam ucapannya pada Debat Umum sempena Persidangan Lautan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNOC) edisi ketiga di sini pada Isnin.
Beliau berkata perlunya sinergi dibentuk untuk membina persekitaran lautan yang aman, selamat, makmur dan terangkum, selain memperkasakan usaha dalam meningkatkan ketersambungan lautan dan kerjasama pragmatik.
China akan mempergiatkan program kerjasama dua hala dan pelbagai hala bagi menyokong negara membangun lain termasuk negara kepulauan kecil dalam melaksanakan matlamat pembangunan mampan.
Kepelbagaian tamadun kelautan harus dihargai, kata Han sambil menambah bahawa lebih banyak platform dialog berkaitan urusan maritim perlu ditubuhkan dan orde lautan yang adil, terbuka dan terangkum diwujudkan.
Menurut beliau, pihak terlibat hendaklah meneruskan usaha ke arah membina persekitaran lautan yang bersih dan indah.
Han berkata China akan meningkatkan kolaborasi dengan pertubuhan antarabangsa dalam memajukan tadbir urus lautan dan pembangunan hijau, serta menyokong perjanjian mengenai pemeliharaan biodiversiti marin dunia supaya berkuat kuasa seawal mungkin.
– BERNAMA-CMG
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial