KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menjunjung kasih ke atas Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail atas inisiatif baginda dalam merevolusikan pasukan kebangsaan.
Presiden FAM Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub berkata sentuhan Tunku Ismail mula menampakkan impak positif selepas kejayaan Malaysia membenam Vietnam 4-0 dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional, Bukit Jalil Selasa lepas.
“Bagi mewakili Jawatankuasa Eksekutif FAM, saya ingin mengucapkan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tunku Mahkota Ismail atas inisiatif dan komitmen baginda dalam merevolusikan pasukan Harimau Malaya.
“Junjung kasih kepada Tunku Mahkota Ismail yang sentiasa prihatin serta memberikan sokongan dan bantuan kepada FAM dalam usaha meningkatkan lagi prestasi skuad Harimau Malaya. Kejayaan ini satu permulaan positif buat Harimau Malaya dan bola sepak Malaysia secara keseluruhannya,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan FAM hari ini.
Terdahulu, beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM Kali Ketiga Bagi Penggal 2025-2029 yang diadakan di Wisma FAM, Kelana Jaya.
Dalam pada itu, Mohd Joehari turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pihak kerajaan atas bantuan khususnya dari segi kewangan bagi memperkasakan pasukan kebangsaan.
“Peruntukan daripada kerajaan Malaysia ini pastinya akan meningkatkan lagi motivasi buat para pemain pasukan kebangsaan bagi mencapai lebih banyak kejayaan pada masa hadapan.
“Sekali lagi saya mewakili Jawatankuasa Eksekutif FAM ingin mengucapkan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri atas sokongan penuh beliau buat pasukan Harimau Malaya,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial