LABUAN, 13 Jun (Bernama) -- Taman Botani Labuan akan menjalani transformasi menerusi peruntukan RM5 juta yang diluluskan Jabatan Landskap Negara baru-baru ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Mohd Sukuran Taib.
Beliau berkata kerja-kerja pengubahsuaian dijangka bermula tahun depan dengan menumpukan kepada penambahbaikan kemudahan orang ramai selain memulihara nilai budaya dan ekologi taman itu.
“Kita amat menghargai pemberian peruntukan ini yang akan membolehkan kita meningkatkan infrastruktur taman ini,” katanya kepada Bernama hari ini.
Sukuran berkata antara kerja-kerja utama ialah menambah baik laluan konkrit sedia ada, membaiki gazebo dan platform yang uzur, menambah baik pusat maklumat dan pondok pengawal, serta membina dinding terbuka baharu bagi memperbaiki arah aliran pengunjung.
Perbadanan Labuan katanya turut memberikan cadangan berkaitan kemudahan yang memerlukan penambahbaikan bagi memenuhi keperluan orang ramai.
“Taman Botani Labuan bukan sekadar ruang rekreasi, tetapi juga melambangkan warisan. Penambahbaikan yang dilakukan mampu memastikan taman ini terus memberi manfaat kepada generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata kerja-kerja dokumentasi dan perancangan sedang berjalan dengan dijangka selesai tahun ini, sekali gus membolehkan projek dimulakan pada awal tahun hadapan.
Taman Botani Labuan yang dahulunya dikenali sebagai ‘Bumbung 12’, merupakan bekas lokasi kediaman rasmi gabenor Labuan era Inggeris yang dibina pada 1852.
Sebahagian daripada taman itu musnah semasa Perang Dunia Kedua dan hanya tangki simpanan air masih kekal.
Perbadanan Labuan membangunkan taman itu sebagai taman rekreasi pada 2001.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial