BERITA TERGEMPAR | Thailand's Constitutional Court Tuesday suspended PM Paetongtarn pending deliberation of a leaked phone call case | |
KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual mengadakan lawatan kerja tiga hari ke Itali, yang juga merupakan lawatan pertama beliau ke negara itu, demikian menurut Wisma Putra.
Kenyataan Wisma Putra malam ini memaklumkan lawatan dari 1 hingga 3 Julai itu adalah atas undangan rakan sejawat Anwar iaitu Giorgia Meloni.
Turut mengiringi beliau ialah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Menurut Wisma Putra, Perdana Menteri dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan Meloni di Istana Chigi, Rom pada 3 Julai.
“Pertemuan ini memberi peluang kepada kedua-dua pemimpin untuk menilai perkembangan hubungan Malaysia-Itali serta meneroka peluang kerjasama baharu, khususnya dalam bidang ekonomi, teknologi pertahanan dan tenaga,” menurut kenyataan itu.
Kedua-dua pihak juga akan bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama termasuk Hubungan Rakan Pembangunan ASEAN-Itali, Hubungan Dialog ASEAN-Kesatuan Eropah dan situasi di Timur Tengah.
“Perdana Menteri juga akan menggariskan keutamaan Malaysia semasa Kepengerusian ASEAN 2025 serta usaha ASEAN dalam mendepani cabaran serantau dan global,” katanya.
Wisma Putra memaklumkan pada 2 Julai, Perdana Menteri juga dijadual merasmikan Persidangan Meja Bulat Perkongsian Ekonomi Malaysia-Itali yang akan dihadiri pemimpin industri kedua-dua negara bagi membincangkan peluang kerjasama dalam pelaburan dan perdagangan dua hala.
Selain itu, Anwar dijadual menghadiri perjumpaan bersama pemimpin komuniti Islam di Itali dan majlis ramah mesra bersama diaspora Malaysia.
Hubungan antara Malaysia dan Itali yang terjalin sekian lama adalah kukuh dan saling menguntungkan didukung oleh pertumbuhan perdagangan serta pelaburan yang berterusan selain kesalinghubungan antara rakyat kedua-dua negara.
Tahun lepas, jumlah dagangan antara Malaysia dan Itali mencatatkan peningkatan dua peratus kepada RM14.61 bilion (USD3.18 bilion) berbanding 2023 manakala bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini, jumlah dagangan terus menunjukkan prestasi positif dengan peningkatan 3.3 peratus kepada RM6.50 bilion (USD1.48 bilion) berbanding tempoh sama bagi tahun 2024.
Itali merupakan rakan dagang kelima terbesar Malaysia dalam kalangan negara Kesatuan Eropah dan pengimport ketiga terbesar minyak sawit Malaysia dari blok tersebut bagi tahun 2024.
Selepas Itali, Perdana Menteri dijadual ke Perancis bagi lawatan rasmi selama dua hari bermula 3 Julai.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial