PUTRAJAYA, 2 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mendedahkan terdapat kelewatan tidak wajar oleh seorang pegawai penyiasat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah dalam mengendalikan permohonan kad pengenalan baharu melibatkan seorang kanak-kanak.
Menurut kenyataan EAIC hari ini, kelewatan itu menunjukkan kegagalan melaksanakan tugasan dengan sewajarnya serta mengambil masa terlalu lama untuk memulakan siasatan dan ketidakcekapan dalam pengurusan kes.
"Tindakan ini juga adalah tidak selaras dengan Kod Etika JPN yang menetapkan komitmen yang tinggi dan sentiasa bersedia untuk menjalankan tugas dan bertanggungjawab serta gigih dalam setiap pekerjaan yang dilakukan dalam tempoh masa ditetapkan di samping menjamin kualiti," menurut kenyataan itu.
Sehubungan dengan itu, EAIC memutuskan untuk merujuk hasil siasatan kepada Pihak Berkuasa Tatatertib JPN dengan syor hukuman tatatertib di bawah Peraturan 38, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U.(A) 395/1993], susulan kesalahan kurang cekap sebagaimana diperuntukkan di bawah Peraturan 4(2)(e) peraturan sama.
Selain tindakan tatatertib, EAIC turut mengesyorkan beberapa langkah penambahbaikan, antaranya mengemas kini prosedur kerja dan menambah baik prosedur operasi standard (SOP) melibatkan penetapan tempoh masa yang mencukupi kepada pegawai penyiasat bagi melaksanakan siasatan dengan berkesan.
EAIC turut syor penubuhan pasukan 'Flying Squad' di Ibu Pejabat JPN Putrajaya bagi mengenal pasti punca kes tertunggak, sama ada disebabkan oleh sikap pegawai yang terlibat atau faktor-faktor lain yang menyebabkan kegagalan mematuhi kaedah dan tatacara ditetapkan.
Sebelum ini, EAIC menerima aduan terhadap pegawai JPN Sabah yang didakwa tidak mengambil tindakan sewajarnya berkaitan permohonan kad pengenalan baharu anak pengadu.
Susulan itu, siasatan telah dijalankan berdasarkan kepada aduan yang diterima mengikut subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700].
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial