SEPANG, 2 Julai (Bernama) -- Seorang petani mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membuat dan memulakan hantaran komen yang jelik sifatnya menerusi laman media sosial Facebook pada Februari lepas.
Mohammad Faisal Mohd Yusof, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.
Mengikut pertuduhan, Mohammad Faisal secara sedar telah membuat dan memulakan hantaran komen yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, menggunakan akaun Facebook 'Mohd Faisal Yusop'.
Hantaran tersebut didakwa dilakukan pada 12.40 pagi, 9 Feb lepas dan telah dilihat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada kira-kira 1.40 tengah hari yang sama di MCMC Tower 1, Jalan Impact, Cyber 6, Cyberjaya.
Lelaki berkenaan didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya MCMC Fadhli Ab Wahab mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin tempatan, memandangkan tertuduh pernah tidak menghadiri sebutan kes pada 30 April lepas hingga waran tangkap dikeluarkan.
Bagaimanapun, bapa tunggal yang tidak diwakili peguam itu merayu jumlah jaminan dikurangkan kerana dia tidak mempunyai pendapatan tetap serta menanggung tiga anak serta ibu bapanya.
Ahmad Fuad memerintahkan Mohammad Faisal dikenakan jaminan RM7,000 dan menetapkan 8 Ogos ini untuk sebutan semula kes.
Bagaimanapun, Mohammad Faisal gagal membayar wang jaminan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial