BERITA TERGEMPAR | Malaysia hopes ASEAN-Canada Free Trade Agreement negotiations can be concluded soonest possible for mutual benefit - PM Anwar | |
Oleh Jailani Hasan
KOTA KINABALU, 3 Julai (Bernama) -- Lion Logistics Group yang berpangkalan di Labuan memanfaatkan penyertaannya dalam Persidangan dan Pameran Minyak, Gas dan Tenaga Sabah (SOGCE) ke-12 untuk mengembangkan rangkaian perniagaannya serta menjalin perkongsian strategik dalam sektor tenaga serantau.
Acara yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di Kota Kinabalu bermula 3-4 Julai, 2025 itu menyediakan platform penting bagi kerjasama industri, inovasi dan pertumbuhan.
Kumpulan ketika memberitahu Bernama berkata dengan tumpuan untuk meningkatkan peranannya dalam rantaian bekalan minyak dan gas, ia akan melibatkan pihak berkepentingan bagi mempromosikan keupayaan logisitiknya yang komprehensif.
Lion Logistics Group terdiri daripada Lion Transport, iaitu syarikat perkapalan terbesar di Labuan; Kren Antarabangsa, penyedia perkhidmatan kren angkat berat dan Megah Port Management Sdn Bhd, pengendali pelabuhan bagi Labuan.
Perkhidmatan gabungan kumpulan itu menyokong pelbagai keperluan logistik tenaga luar pesisir dan darat.
Pada tahun ini, SOGCE berjaya mengumpul lebih 100 pempamer industri dan dijangka menarik lebih 4,000 peserta sepanjang ia berlangsung.
Selain itu, perbincangan tertumpu kepada pembangunan tenaga, pembiayaan, teknologi digital dan amalan mampan, menjadikan ia acara utama bagi firma yang ingin menyesuaikan diri dan meneroka inovasi.
Penyertaan Lion Logistics Group menunjukkan komitmennya untuk mengukuhkan kedudukan Labuan sebagai pintu masuk logistik bagi industri tenaga di Malaysia Timur.
Kumpulan itu juga menganggap persidangan itu sebagai peluang untuk meneroka usaha sama, mempromosikan ketersambungan antara pelabuhan, dan menawarkan penyelesaian pelabuhan dan pengangkutan hujung ke hujung, sesuai dengan pertumbuhan infrastruktur Sabah.
Sepanjang berlangsungnya acara selama dua hari itu, Lion Logistics Group akan giat mempromosikan portfolio perkhidmatannya, meneroka kerjasama jangka panjang dan mengukuhkan reputasinya sebagai rakan logistik yang boleh dipercayai dalam landskap minyak, gas dan tenaga Borneo yang dinamik.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial