KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) -- Kapasiti tenaga solar Semenanjung Malaysia yang melepasi 2.5 gigawatt (GW) pada 2025 akan menyaksikan cabaran grid daripada penjanaan berselang-seli menjadi lebih ketara, demikian menurut firma perundingan dan analitik global, Aurora Energy Research.
Dalam usaha menangani risiko kesesakan dan pengehadan, Suruhanjaya Tenaga (ST) telah memulakan program sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) dengan kapasiti 400 megawatt (MW)/1,600 megawatt jam (MWj).
“Pada tahap Permintaan untuk Cadangan (RFP), inisiatif ini menandakan anjakan strategik ke arah penyepaduan penyimpanan awal, sekali gus meletakkan BESS sebagai pengupaya penting bagi pertumbuhan serta kestabilam solar di masa depan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Aurora Energy Research berkata walaupun lokasi titik ketersambungan bagi program BESS 400 MW Malaysia masih belum diumumkan, corak pelaksanaan projek solar sebaliknya dapat memberi petunjuk penting.
Di negeri-negeri seperti Perak, Kedah, Terengganu dan Pahang menempatkan sebahagian besar kapasiti solar berskala besar yang lazimnya di kawasan yang mendapat perkhidmatan penghantaran voltan rendah.
Memandangkan kawasan ini lazimnya disambungkan oleh talian transmisi rendah, ini hanya menjadikannya lebih terdedah kepada kesesakan grid serta risiko pengehadan tenaga.
“Oleh itu, secara strategiknya, penempatan BESS dalam atau berhampiran kawasan ini dapat meningkatkan penggunaan solar, mengurangkan tekanan grid serta membantu dari segi meningkatkan kadar kitaran bateri.
“Kalangan pembangun projek harus menilai tahap penembusan tenaga solar, kapasiti penghantaran tempatan serta profil beban bersih untuk mengenal pasti lokasi yang berpotensi secara teknikal dan komersial yang kukuh,” katanya.
Aurora Energy Research juga menekankan bahawa arbitraj tenaga - pembelian tenaga elektrik ketika murah dan menjualnya apabila harga meningkat, boleh menjadi sumber pendapatan utama bagi BSS di Malaysia.
Walaupun tebaran harga adalah sederhana sepanjang 2030, ia mengunjurkan keadaan itu akan meningkat kepada kira-kira RM400 setiap MWj menjelang 2040, didorong oleh peningkatan penjanaan solar pada waktu tengah hari selain kebergantungan kepada gas pada waktu petang.
“Dinamika ‘keluk itik’ ini mewujudkan keadaan yang ideal bagi pengecasan bateri ketika harga rendah dan dinyahcas ketika harga tinggi. Walaupun rangka kerja peraturan masih dalam peringkat dibangunkan, pembaharuan masa depan seperti Susunan Penghantaran Baharu Dipertingkatkan (NEDA) mungkin membuka penyertaan dalam pasaran borong.
“Pembangun dapat meraih manfaat dengan mengumpul pelbagai sumber pendapatan dan reka bentuk sistem yang bersedia untuk arbitraj pasaran terbuka, sekali gus meningkatkan pulangan serta memastikan daya maju projek pada masa depan,” katanya.
Bagi tujuan lelongan, pembangun perlu menyusun bidaan secara teliti untuk mengimbangi kepastian hasil dengan pendedahan ke atas pasaran.
Firma itu berkata projek-projek berkenaan dapat meraih semula kos menerusi pembayaran kapasiti tetap, pembayaran tenaga berasaska penggunaan, pendapatan pasaran terbuka di masa depan adalah menerusi arbitraj harga terbabit.
Pada masa sama, ia mengetengahkan tiga strategi utama yang boleh diterokai, termasuk pemulihan semua kos menerusi pembayaran kapasiti tetap yang menawarkan jaminan hasil tinggi dan boleh biaya yang kukuh, namun menghasilkan bidaan kurang kompetitif dan lebih tinggi.
Strategi lain merangkumi gabungan pembayaran kapasiti dan tenaga — menyelaraskan pendapatan dengan penggunaan sistem dan meningkatkan daya saing.
“Namun begitu, ini mengandaikan keupayaan penghantara diyakini dan mengetengahkan tahap kerumitan kewangan yang sederhana.
“Strategi ketiga pula merangkumi penambahan komponen pasaran terbuka -- dengan andaian perolehan hasil dalam tempoh 16 hingga 25 tahun yang berpotensi menurunkan bidaan Perjanjian Pembelaian Tenaga (PPA) tetapi mendedahkan projek kepada risiko pasaran jangka panjang serta ketidaktentuan pengawalseliaan,” katanya.
Aurora Energy Research berkata setiap strategi itu mempunyai kompromi dari segi daya saing, kemampuan pembiayaan dan unjuran kestabilan pendapatan.
Selain daripada aspek hasil, pihak pembangun juga perlu mengambil kira risiko teknikal dan komersial -- kadar penghantaran tinggi yang mungkin menjejaskan jaminan bateri manakala jaminan prestasi jangka panjang mungkin memerlukan penggantian semula yang mahal dan pembayaran bagi perkhidmatan tenaga mesti menampung bukan sahaja kos operasi, tetapi juga kos sepanjang kitaran tempoh projek.
“Kejayaan itu akan bergantung pada pemodelan mantap, penglibatan bersama pengeluar peralatan tulen (OEM) serta penyelarasan strategi bidaan dengan keupayaan operasi dan pembiayaan.
“Apabila pasaran Malaysia terus berkembang, strategi yang lebih terdedah kepada risiko seperti strategi ketiga itu mungkin menjadi semakin berdaya maju,” katanya.
Maklumat lanjut dan cadangan strategik serta primer oleh Aurora Energy Research boleh didapati melalui laman sesawang https://auroraer.com/resources/aurora-insights/articles/malaysias-400-mw-1600-mwh-bess-auction-mybest-a-strategic-primer-for-rfp-bidders.
Selain itu, Aurora Energy Research akan menganjurkan webinar Zoom yang merangkumi analisis terkini kami untuk sektor kuasa dan boleh diperbaharui Malaysia, jika anda ingin menyertai webinar, daftar di sini https://auroraer.zoom.us/webinar/register/8417509417705/WN_Ovj-NnQTTzyPv9t9ImyeXA
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial