KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) -- Hospital Kuala Lumpur (HKL) telah menyerahkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kepada polis bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang warga asing ditemukan cedera parah di kawasan parkir bertingkat hospital itu, Ahad lepas.
Dalam kenyataan rasmi Kementerian Kesihatan hari ini, Pengarah HKL Datuk Dr Harikrishna K.R. Nair berkata kejadian berlaku pada 4.30 petang dan pihaknya membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi hari yang sama.
“Mangsa diberikan rawatan segera di Jabatan Kecemasan dan Trauma HKL. Kes masih dalam siasatan polis dan HKL tidak akan mengeluarkan kenyataan yang boleh mengganggu siasatan,” katanya.
Sebelum ini, tular video berdurasi 41 saat menunjukkan seorang lelaki warga asing berdiri di sebelah kereta dan mengalami kecederaan di kepala di kawasan parkir bertingkat hospital itu.
Lelaki itu kemudiannya terjatuh sebelum diberi rawatan awal oleh paramedik.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sulizmie Affendy Sulaiman menerusi kenyataan mengesahkan pemeriksaan awal mendapati mangsa mengalami luka pada kepala dan patah tulang rusuk kanan namun tiada keretakan pada tempurung kepala.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mencederakan dengan senjata dan polis meminta orang awam mempunyai maklumat menghubungi Insp Pang Wei Keong menerusi 013-2082391 atau DSP Rosdi M Husin 013-3920694.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial