WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Aerotrain KLIA Dijamin Selamat, Patuhi Piawaian Antarabangsa - Loke

04/07/2025 11:05 PM

PUTRAJAYA, 4 Julai (Bernama) -- Menteri Pengangkutan Anthony Loke memberi jaminan kepada orang ramai bahawa perkhidmatan Aerotrain baharu di Terminal 1 (T1) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) beroperasi dengan lancar dan dibina mengikut piawaian antarabangsa.

Loke berkata Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan Kementerian Pengangkutan komited untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan dan menangani sebarang isu dengan segera bagi memastikan pengalaman perjalanan yang selamat dan lancar.

“Saya menghargai kesabaran dan kefahaman orang ramai ketika kami menyempurnakan operasi dalam fasa awal perkhidmatan Aerotrain baharu ini,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, MAHB mengesahkan perkhidmatan Aerotrain di KLIA T1 digantung sementara pada 11 pagi tadi susulan takungan air dalam terowong yang disebabkan oleh hujan lebat.

MAHB memaklumkan sistem saliran terowong berkenaan dilengkapi dengan pam yang direka bentuk untuk mengendalikan kemasukan air semasa keadaan cuaca buruk.

Loke turut mengulangi kenyataan MAHB bahawa gangguan Aerotrain KLIA pagi tadi berpunca daripada kerosakan teknikal melibatkan pam saliran dalam infrastruktur terowong sedia ada di lapangan terbang berkenaan.

Beliau berkata pam yang rosak itu adalah sebahagian daripada sistem lama lapangan terbang dan tiada kaitan dengan program penggantian Aerotrain baharu, namun gagal berfungsi seperti sepatutnya sehingga menyebabkan air hujan bertakung dalam terowong.

“Air yang bertakung telah mencapai paras bahaya, sekali gus mengaktifkan sistem keselamatan Aerotrain untuk menghentikan operasi secara automatik sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya.

Loke turut menjelaskan insiden berasingan yang berlaku pada 2 Julai lepas, melibatkan seorang penumpang yang menghalang pintu platform daripada ditutup sehingga menyebabkan operasi Aerotrain tergendala.

“Sistem keselamatan tren telah bertindak dengan sewajarnya. Kedua-dua insiden itu, walaupun dikesali, sebenarnya mencerminkan integriti dan kebolehpercayaan sistem keselamatan Aerotrain baharu,” katanya.

Beliau berkata sistem itu direka untuk mengesan potensi bahaya dan menghentikan operasi sekiranya perlu, demi mengelakkan risiko terhadap keselamatan penumpang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan