WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Lawatan PM Anwar Ke Perancis Berjaya, Tingkatkan Lagi Kerjasama Dalam Semua Sektor - Presiden Macron

05/07/2025 05:55 AM

Daripada Arul Rajoo Durar Raj

PARIS, 4 Julai (Bernama) - Presiden Perancis Emmanuel Macron menyifatkan lawatan dua hari Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Perancis sebagai berjaya, dengan kedua-dua negara meningkatkan lagi kerjasama dalam semua sektor.

Beliau berkata ini dicapai melalui pertemuan peringkat tinggi Anwar dengan rakan sejawatnya dari Perancis, François Bayrou dan pegawai kanan lain, ucapan penting beliau di Sorbonne University Paris dan pertemuan dengan wakil perniagaan Perancis.

Macron turut menyifatkan lawatan itu sebagai bermakna berikutan lawatan rasmi terakhir oleh pegawai tinggi Malaysia adalah 15 tahun yang lepas.

Selain itu, katanya beliau gembira melihat kedua-dua negara memeterai perjanjian dalam bidang seperti mineral dan pembelian pesawat.

“Lawatan ini merupakan satu kejayaan. Kami juga mendengar ucapan anda (Anwar) di universiti dan itu adalah detik yang amat penting,” katanya pada sidang media bersama selepas mengadakan pertemuan dua hala dengan Anwar di Istana Elysee di sini hari ini.

Terdahulu, Anwar menyampaikan syarahan bertajuk, ‘Southeast Asia and Europe: Recalibrating The Terms of Engagement’ di Sorbonne University Paris apabila beliau menggesa kerjasama yang setara dalam semua aspek antara Asia Tenggara dan Eropah.

Macron berkata hubungan Perancis dengan Malaysia dan ASEAN semakin kukuh serta lawatannya ke Indonesia, Vietnam dan Singapura pada Mei lepas menjadi petunjuk kepada hubungan serantau yang meningkat.

“Di Asia Tenggara, saya menegaskan sokongan kami terhadap jaringan tenaga elektrik serantau, termasuk sokongan terhadap tenaga nuklear awam,” kata beliau.

Sementara itu, Anwar berkata beliau berharap Presiden Perancis akan mengadakan lawatan ke Malaysia selepas menghadiri Sidang Kemuncak Francophonie ke-20 di Kemboja tahun depan.

Beliau berkata hubungan dua hala antara kedua-dua negara semakin kukuh dengan komitmen daripada kerajaan Perancis di bawah kepimpinan Macron. 

“Malaysia Airlines dan AirAsia membeli lebih banyak pesawat. Sarawak juga sedang memperkukuh syarikat penerbangan milik mereka sendiri melalui kerjasama dengan Perancis,” kata Anwar, yang juga Menteri Kewangan.

Pada masa yang sama, beliau berharap syarikat Perancis akan terus menghasilkan komponen pesawat di Malaysia.

Dalam sektor tenaga, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) bekerjasama dengan rakan-rakannya dari Perancis dalam usaha sama mereka di Amerika Latin dan Afrika.

Awal hari ini, AirAsia menandatangani perjanjian untuk membeli pesawat jarak jauh Airbus 321XLR bernilai US$12.25 bilion (RM51.72 bilion), dengan serahan disahkan pada 2028.

Perdana Menteri turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara 3P Capital Advisers dan Ardian, syarikat pelaburan persendirian terkemuka dari Perancis dalam usaha meneroka peluang pelaburan dalam pasaran persendirian. 

Anwar berkata inisiatif sektor swasta ini dapat memberikan rakyat Malaysia akses yang lebih luas kepada pelaburan alternatif.

Dalam pertemuan dengan Imerys, syarikat pemproses mineral industri yang telah bertapak di Malaysia selama lebih 25 tahun, Anwar berkata syarikat itu telah menyatakan komitmennya untuk memperluas operasi dan menyokong pembangunan sektor pembuatan bernilai tinggi dan mesra alam di negara ini.

Anwar turut mengadakan pertemuan dengan pimpinan Arkema, peneraju global dalam bidang kimia khas yang sedang menilai potensi pelaburan baharu di Malaysia. 

Dalam lawatan itu, Anwar diiringi oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Turut menyertai delegasi itu ialah Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Perancis kekal sebagai antara lima rakan dagang utama Malaysia dalam kalangan negara EU. 

Pada 2024, jumlah dagangan dua hala antara kedua-dua negara mencecah RM15.95 bilion (US$3.63 bilion), dengan RM6.26 bilion (US$1.49 bilion) direkodkan bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini.

Dari Perancis, Anwar akan ke Brazil untuk menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS dari 5 hingga 7 Julai.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan