WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Anwar Tiba Di Brazil Untuk Sidang Kemuncak BRICS

05/07/2025 06:35 PM

Daripada Arul Rajoo Durar Raj

RIO DE JANEIRO, 5 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di sini pada Sabtu untuk menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-17 yang dianjurkan oleh Brazil.

Pesawat yang membawa Anwar dan delegasi mendarat di Pangkalan Tentera Udara Galeão (BAGL) pada 5.41 pagi waktu tempatan (4.41 petang waktu Malaysia), selepas penerbangan selama 12 jam dari Paris, lokasi lawatan rasmi dua harinya sebelum ini.

Ketibaan Anwar disambut oleh Pemangku Ketua Perwakilan Kedutaan Besar Malaysia di Brasilia Datuk Mohammad Ali Selamat, Setiausaha Promosi Perdagangan, Sains, Teknologi, Inovasi dan Kebudayaan, Kementerian Luar Negeri Brazil Laudemar Gonçalves de Aguiar Neto, serta pegawai kanan Brazil.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berada di sini atas jemputan Presiden Luiz Inácio Lula da Silva.

Delegasi Anwar turut disertai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Ahli Parlimen Miri Chiew Choon Man dan Ahli Parlimen Paya Besar Datuk Mohd Shahar Abdullah.

Penyertaan Malaysia dalam Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-17 adalah sebagai Negara Rakan BRICS dan selaku Pengerusi ASEAN 2025.

Sidang kemuncak ini merupakan perhimpunan julung kali yang melibatkan ketua-ketua negara dan kerajaan dari negara anggota dan rakan BRICS.

Malaysia secara rasmi menyertai sebagai Negara Rakan BRICS mulai 1 Jan 2025.

Beberapa jam selepas tiba di bandar pesisir ini, Anwar dijadual menyampaikan ucapan pada Forum Perniagaan BRICS bersama Presiden Brazil.

Pada Isnin, Perdana Menteri akan menyampaikan Kenyataan Negara dalam dua sesi utama bertajuk: “Memperkukuh Multilateralisme, Ekonomi-Kewangan dan Kecerdasan Buatan (AI) serta “Alam Sekitar, COP30 dan Kesihatan Global”.

Penyertaan Malaysia mencerminkan komitmen teguh negara terhadap pengukuhan multilateralisme dan memperjuangkan suara serta kepentingan negara membangun.

Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia akan memanfaatkan kedudukan ini untuk memperkukuh hubungan ASEAN-BRICS, memperluas kerjasama serantau, memperdalam perkongsian ekonomi dan menyumbang ke arah ekonomi global yang lebih adil dan mampan.

Sepanjang lawatan tiga hari di sini, Anwar dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawat dari negara anggota dan rakan BRICS.

Beliau juga dijangka mengadakan pertemuan bersama syarikat Malaysia dan Brazil.

BRICS, yang berfungsi sebagai forum koordinasi politik dan diplomatik negara-negara Selatan Global dalam pelbagai bidang, mula ditubuhkan oleh Brazil, Rusia, India dan China.

Afrika Selatan menyertai pada 2011, diikuti Mesir, Ethiopia, Iran, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 2023, serta Indonesia pada 2024.

Malaysia bersama Belarus, Bolivia, Kazakhstan, Cuba, Nigeria, Thailand, Vietnam, Uganda dan Uzbekistan diterima sebagai Negara Rakan BRICS.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan