WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Sindiket Palsu Dokumen Sasar Warga Emas Mahu Kahwin Warga Asing Tumpas

05/07/2025 05:57 PM

PUTRAJAYA, 5 Julai (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan lima lelaki warga tempatan yang disyaki terlibat dalam sindiket pemalsuan dokumen imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dengan menyasarkan warga emas dalam satu operasi khas di sekitar Putrajaya, pada Khamis lepas.

Ketua Pengarah Imigresen Zakaria Shaaban berkata sindiket dipercayai telah beroperasi selama setahun itu menyasarkan warga emas tempatan di Lembah Klang yang ingin berkahwin dengan warga asing dengan mengenakan kadar bayaran antara RM50 hingga RM500 bagi setiap permohonan.

Beliau berkata modus operandi sindiket adalah menawarkan perkhidmatan imigresen iaitu permohonan ‘isteri kepada warganegara tempatan’ dan perkhidmatan JPN iaitu permohonan ‘perkahwinan warganegara tempatan dengan warganegara asing’. 

“Kesemua yang ditahan berusia antara 30 hingga 66 tahun. Mereka ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 dan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Zakaria pihaknya merampas tujuh pasport Bangladesh, enam pasport China, tiga pasport Indonesia, dua pasport Vietnam serta masing-masing satu pasport Myanmar dan Macau selain 26 fail berisi dokumen JIM dan JPN, mesin pencetak, satu unit komputer riba serta wang tunai RM3,070 yang dipercayai hasil sindiket.

Beliau berkata pihaknya turut menyita sebuah kereta Perodua Beza dan Honda CRV yang dipercayai digunakan oleh sindiket itu.

Serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya, susulan maklumat awam serta risikan selama dua minggu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan