WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pendakwaan Kemuka 24 Alasan Rayuan Terhadap Keputusan Mahkamah Bebaskan Isa Samad

05/07/2025 06:21 PM

PUTRAJAYA, 5 Julai (Bernama) -- Pihak pendakwaan mengemukakan 24 alasan dalam petisyen rayuannya mengapa Mahkamah Rayuan terkhilaf apabila membebaskan bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad daripada sembilan pertuduhan rasuah.

Dalam petisyen yang difailkan di Mahkamah Persekutuan pada 26 Jun, pihak pendakwaan memohon agar keputusan Mahkamah Tinggi pada 2012 dikembalikan yang mendapati Mohd Isa bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara enam tahun serta denda RM15.45 juta dengan hukuman penjara 18 tahun sekiranya gagal membayar denda berkenaan. 

Semakan terhadap sistem e-filing mahkamah menunjukkan pengurusan kes dijadualkan pada Isnin ini.

Dalam petisyen rayuan berkenaan, pihak pendakwaan berhujah bahawa Mahkamah Rayuan terkhilaf dari segi undang-undang apabila membatalkan penemuan Mahkamah Tinggi yang mendapati Mohd Isa telah mengarahkan bekas pegawai khas politiknya Muhammad Zahid Md Arip untuk meminta rasuah daripada seorang Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd Ikhwan Zaidel.

Pihak pendakwaan menyatakan mereka telah mengemukakan bukti bahawa selepas dua pertemuan, Mohd Isa secara tidak langsung mengarahkan Muhammad Zahid untuk meminta rasuah daripada Ikhwan dan Muhammad Zahid bertindak mengikut arahan berkenaan dengan menyerahkan rasuah itu secara berperingkat kepada Mohd Isa.

Pendakwaan turut menyatakan bahawa Mahkamah Rayuan terkhilaf dari segi undang-undang apabila mendapati terdapat bukti daripada Ikhwan yang menunjukkan bahawa Mohd Isa tidak pernah meminta habuan daripada beliau dalam dua pertemuan di pejabatnya.

“Para Hakim Mahkamah Rayuan terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila mereka mencampuri penemuan fakta yang dibuat oleh hakim Mahkamah Tinggi bahawa Mohd Isa telah mengarahkan Muhammad Zahid untuk meminta dan menerima rasuah secara tidak langsung daripada Ikhwan apabila responden (Mohd Isa) menyatakan ‘Kalau diorang bagi apa-apa nanti kau ambil lah’ kepada Muhammad Zahid,” menurut petisyen itu.

Pendakwaan memaklumkan Muhammad Zahid yang merupakan antara saksi pihak pendakwaan memahami kata-kata berkenaan sebagai maksud bahawa apa sahaja yang diberikan oleh Ikhwan perlu diterima bagi pihak Mohd Isa.

Selain itu, Mahkamah Rayuan didakwa terkhilaf membuat penemuan yang bertentangan, iaitu kenyataan berkenaan tidak boleh ditafsirkan secara literal sebagai permintaan khusus atau arahan bagi Muhammad Zahid untuk meminta rasuah daripada Ikhwan.

Pendakwaan turut berhujah bahawa penemuan fakta oleh Mahkamah Rayuan adalah tidak selari dengan penemuan fakta oleh Mahkamah Tinggi yang berdasarkan kepada keterangan menerusi Muhammad Zahid dan Ikhwan, kedua-duanya diiktiraf sebagai saksi yang boleh dipercayai.

Mengikut pihak pendakwaan, keterangan Muhammad Zahid berhubung kata-kata berkenaan mempunyai asas fakta susulan satu lagi pertemuan antara Mohd Isa dan Ikhwan, dengan Ikhwan menyatakan rasa terima kasih kerana kelulusan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB).

Menurut pendakwaan Mohd Isa turut memberitahu Muhammad Zahid bahawa Ikhwan memaklumkan yang dia (Ikhwan) boleh membantu Parti Bumiputera Bersatu Sarawak.

Pendakwaan menyatakan kenyataan itu merupakan arahan khusus daripada Mohd Isa kepada Muhammad Zahid untuk meminta serta menerima rasuah bagi pihaknya daripada Ikhwan.

Pada 6 Mac 2024, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Vazeer Alam Mydin Meera (kini hakim Mahkamah Persekutuan) dan Datuk S.M. Komathy Suppiah telah melepas dan membebaskan Mohd Isa selepas membenarkan rayuannya.

Panel hakim itu telah mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi bertarikh 3 Feb 2021 yang mendapati Mohd Isa bersalah atas sembilan pertuduhan rasuah yang didakwa dilakukan di tingkat 49 Menara Felda, Platinum Park, No. 11 Persiaran KLCC, Kuala Lumpur antara 21 Julai 2014 hingga 11 Dis 2015.

Pendakwaan memfailkan notis rayuan pada 7 Mac tahun lepas.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu didakwa pada 2018 dengan sembilan pertuduhan menerima suapan untuk dirinya berjumlah RM3,090,000 daripada Ikhwan menerusi Muhammad Zahid sebagai tanda terima kasih kerana membantu meluluskan pembelian hotel oleh FICSB pada harga RM160 juta.

Pertuduhan berkenaan dibuat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah rasuah atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan