WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ASEAN Platform Penting Diplomasi Dan Perdagangan Bagi AS – Jurucakap Kedutaan

05/07/2025 08:58 PM

KUALA LUMPUR, 5 Julai (Bernama) -- Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 dan mesyuarat berkaitan yang akan bermula Selasa ini di Kuala Lumpur memberi peluang penting bagi Amerika Syarikat untuk memperkukuh kerjasama diplomatik dan perdagangan dengan rakan serantau.

Jurucakap Kedutaan Amerika Syarikat James Butler Dewey, menyuarakan keyakinan tinggi terhadap persiapan dan kepimpinan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini, sambil memuji tahap penyelarasan dan profesionalisme tinggi yang ditunjukkan dalam penganjuran mesyuarat pelbagai hala itu. 

“Seluruh warga Kedutaan AS sangat teruja dengan kepengerusian Malaysia – menerajui usaha pelbagai hala ini.

“Kami melihat forum ASEAN sebagai platform yang sangat berharga untuk bertemu rakan dan sekutu, serta negara-negara yang begitu penting kepada AS sebagai rakan dagang,” katanya kepada Bernama selepas tinjauan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Sabtu.

Sesi itu menghimpunkan para pegawai kedutaan menjelang AMM dan mesyuarat berkaitan yang akan berlangsung dari 8 hingga 11 Julai.

Dewey, yang baru memulakan tugas diplomatik di Malaysia berkata ketibaannya secara kebetulan bertepatan dengan kepengerusian ASEAN, sekali gus memberi peluang tepat pada masanya untuk beliau menyaksikan peranan penting Malaysia dalam memacu perbincangan serantau.

Beliau turut memuji sokongan luar biasa daripada agensi-agensi Malaysia seperti Kementerian Luar  Negeri, Kementerian Komunikasi dan Jabatan Penerangan Malaysia sepanjang persiapan itu.

“Semua orang sangat baik, sangat membantu dan teliti dalam memastikan kami mendapat apa yang diperlukan. 

"Kami amat menghargainya, dan di atas segalanya, makanannya sedap! … bunyinya mungkin remeh, tapi dalam persidangan pelbagai hala antarabangsa, layanan sebegini amat jarang dijumpai,” katanya lagi.

Dewey turut memuji suasana KLCC dan kawasan sekitarnya sebagai lokasi yang sangat sesuai untuk penganjuran persidangan serantau.

“Saya sempat berjalan di taman berdekatan pusat konvensyen dan menikmati pemandangan Menara Berkembar Petronas – sangat mengujakan apabila forum pelbagai hala seperti ini dianjurkan di tempat yang begitu istimewa,” katanya.

Tinjauan itu meliputi beberapa kawasan utama termasuk Pusat Media Antarabangsa, dewan pleno dan ruang hospitaliti, sambil berfungsi sebagai sesi jaringan santai antara wakil-wakil diplomatik yang mengambil bahagian. 

Malaysia menjadi tuan rumah AMM bersempena penggal kelima selaku Pengerusi ASEAN, selepas kali terakhir memegang peranan itu pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.

Mesyuarat berprofil tinggi itu dijangka menghimpunkan kira-kira 1,500 perwakilan, termasuk menteri luar negara-negara anggota ASEAN, Timor-Leste, Rakan Dialog ASEAN, negara anggota Forum Serantau ASEAN (ARF), Rakan Dialog Sektoral serta pegawai kanan Sekretariat ASEAN.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan